COVID-19: Tambunan Kini Zon Hijau, Kunak Kembali Jingga

KOTA KINABALU: Daerah Tambunan kembali ke zon hijau selepas tidak merekodkan sebarang kes aktif COVID-19, menjadikan dua daerah berada dalam zon berkenaan bersama Nabawan, hari ini.

Daerah dalam zon jingga meningkat semula kepada enam, hari ini berbanding lima semalam, berikutan peningkatan dua kes positif COVID-19 dilapor di Kunak selepas beberapa minggu daerah itu berada dalam zon kuning.

Kunak sebelum ini turut menjadi hijau selepas beberapa lama dalam zon jingga dan merah, sebelum turun kepada kuning tetapi kedudukan itu hanya bertahan sehari berikutan masih ada kes baharu dilaporkan di daerah itu.

Lima daerah lain yang berada dalam zon jingga hari ini ialah Kinabatangan dengan empat kes baharu, diikuti Keningau (tiga) dan Tenom (dua), manakala dua lagi daerah dalam zon itu, Beaufort dan Kalabakan tidak mencatat kes baharu.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Masidi Manjun, berkata zon merah kekal di 12 daerah hari ini dengan Kota Kinabalu mencatat kes tertinggi sebanyak 49, diikuti Lahad Datu (38), Sandakan dan Penampang masing-masing 36 kes serta Papar (22).

“Daerah lain dalam zon merah hari ini ialah Putatan (15 kes), Tawau (14 kes), Ranau dan Tuaran masing-masing lapan kes, Kota Belud dan Semporna masing-masing lima kes, manakala Kudat mencatat satu kes baharu.

“Tujuh daerah lain iaitu Sipitang, Beluran, Telupid, Kota Marudu, Pitas, Tongod dan Kuala Penyu berada dalam zon kuning tidak merekodkan sebarang kes baharu hari ini,” katanya dalam kenyataan media perkembangan COVID-19 Sabah, di sini, malam ini.

Secara keseluruhan, Sabah mencatat sebanyak 248 kes baharu hari ini dengan peningkatan 23 kes, berbanding semalam dan satu kematian di Sandakan menjadikan kumulatif kes setakat ini sebanyak 35,888 kes.

Masidi berkata, bagi kes sembuh, seramai 214 pesakit dibenarkan keluar hospital pada hari ini menjadikan jumlah kumulatif sembuh seramai 33,571 orang.

“Seramai 1,553 pesakit lagi sedang menerima rawatan iaitu 567 orang di hospital dan 986 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) dengan 57 orang dalam unit rawatan rapi (ICU), termasuk 18 orang memerlukan alat bantuan pernafasan,” katanya.

Katanya, tiada sebarang kes kluster baharu dilaporkan hari ini, manakala 169 kes atau 68.1 peratus direkodkan hari ini, berpunca daripada saringan kontak rapat, diikuti 37 kes (14.9 peratus) saringan bergejala, saringan kluster sedia ada sebanyak 26 kes atau 10.5 peratus, dan 16 kes (6.5 peratus) kategori lain. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *