3 PTI Bersama Bayi Ditahan Cuba Seberang Sempadan Secara Haram

Kesemua PTI yang cuba keluar melalui laluan tikus ditahan Kumpulan SERKAP

KALABAKAN : Tiga Pendatang Tanpa Izin (PTI) bersama seorang bayi disyaki cuba menyeberang sempadan negara secara haram ditahan berhampiran kawasan Serudong, di sini.

Anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang menjalankan tugas Op Benteng kira-kira jam 3 petang di kawasan tersebut mengesan pergerakan kesemua PTI yang ingin menggunakan laluan tikus balik ke negara mereka.

Kesemua PTI yang cuba keluar melalui laluan tikus ditahan Kumpulan SERKAP

Panglima 5 Briged. Brig Jen Zambery Jefry Darus berkata mereka yang ditahan terdiri daripada dua lelaki dan seorang wanita bersama seorang bayi lelaki.

“Hasil pemeriksaan mendapati kesemua mereka yang ditahan berumur antara 38 hingga 48 tahun manakala bayi tersebut berusia tujuh bulan dan tinggal di negara ini tanpa memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah,”katanya dalam kenyataan media, di sini semalam.

Menurutnya, siasatan lanjut mendapati kesemua mereka sudah menetap di Malaysia sejak awal tahun lagi bagi mendapatkan peluang pekerjaan dalam sektor perladangan.

Bagaimanapun, disebabkan berlakunya penularan pandemik wabak COVID-19, peluang pekerjaan sangat terhad dan menyebabkan kesemua PTI terbabit bercadang untuk pulang semula ke negara asal mereka,”katanya.

Beliau berkata, anggota Kumpulan SERKAP bertindak mengusir kesemua PTI terbabit keluar daripada Malaysia dan mengiringi mereka sehingga ke sempadan negara jiran sebelum membuat laporan polis di Balai Polis Kalabakan untuk siasatan lanjut.

Zambery menegaskan pasukannya akan terus memperketatkan dan meneruskan kawalan di sempadan daratan bagi memastikan Op Benteng dapat diperkukuhkan dari kemasukan PTI serta anasir lain yang mampu mengancam keselamatan negara. – Utusan Borneo

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *