Shafie Nafi Ada Perbincangan Politik Dengan UMNO

Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal

KOTA KINABALU: Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal hari ini, menafikan spekulasi beliau ada membuat perbincangan politik dengan Umno.

Ia berikutan penyebaran gambar yang memaparkan Ahli Parlimen Semporna itu duduk semeja dengan Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Mohd Shafie sebaliknya menjelaskan gambar itu diambil ketika beliau makan malam bersama kedua-dua pemimpin berkenaan sempena majlis tahlil ibu Najib, Allahyarhamah Tun Rahah Mohamed Noah, malam kelmarin.

“Saya menghadiri majlis tahlil untuk arwah Tun Rahah, ia tiada kaitan dengan politik.

“Saya secara peribadi mengenali keluarganya dan saya hadir sebagai tanda hormat kepada Tun Rahah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohd Shafie berkata, beliau tidak dapat menghadiri pengebumian Tun Rahah pada minggu lalu kerana berada di Sabah untuk menghadiri Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah yang bermula pada 18 Disember hingga 23 Disember.

Katanya, Raja Permaisuri Agung Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut berangkat ke majlis tahlil berkenaan yang diadakan di Masjid Ar-Rahah di Kampung Kerinchi, Kuala Lumpur.

“Saya kemudian ikut sama menikmati makan malam yang diadakan selepas majlis tahlil itu,” katanya.

Jenazah Tun Rahah yang juga isteri kepada Perdana Menteri Kedua Tun Abdul Razak Hussein disemadikan di Makam Pahlawan, Masjid Negara pada 19 Disember lalu. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *