Telegram Akan Perkenal Perkhidmatan Berbayar Tahun Depan

Sehingga kini, aplikasi berkenaan mempunyai hampir 500 juta pengguna aktif sejak ia dilancarkan tujuh tahun lalu.

Aplikasi mesej terkod, Telegram akan melancarkan ‘perkhidmatan berbayar’ mereka bermula tahun depan.

Pengasas aplikasi itu, Pavel Durov berkata, keputusan itu dibuat memandangkan syarikat berkenaan memerlukan dana ratusan juta setiap tahun untuk mengekalkan perkhidmatannya kepada pengguna.

Perkhidmatan berbayar itu merangkumi ciri khusus menggunakan kaedah ‘paid features’ namun, servis mesej percuma masih dikekalkan.

Pembangun aplikasi berkenaan dijangka akan memperkenalkan kaedah penjanaan wang dan mungkin memperkenalkan sistem iklan.

“Aplikasi Telegram akan mula menjana pendapatan bermula tahun depan dengan perkhidmatan aplikasi secara berbayar itu.

“Untuk itu juga, kita mampu melancarkan pelbagai ciri lain dan mampu untuk menampung jumlah pengguna aplikasi lebih ramai,” katanya dalam satu kenyataan, sebentar tadi.

Durov berkata, pihaknya tidak merancang untuk menjual syarikat berkenaan dan memerlukan kaedah baharu untuk menjana pendapatan.

Aplikasi mesej Telegram sangat popular dalam kalangan pengguna hari ini memandangkan ciri keselamatannya yang mengandungi mesej terkod dan mengelakkan pihak ketiga menceroboh atau membaca sebarang perbualan antara pengguna.

Sehingga kini, aplikasi berkenaan mempunyai hampir 500 juta pengguna aktif sejak ia dilancarkan tujuh tahun lalu.

Durov berkata, hampir semua perbelanjaan untuk menampung kos operasi Telegram dibiayai oleh wang poketnya dan kini memerlukan kaedah baru untuk mendapat pendapatan.

“Menerusi sistem berbayar ini, kita dapat memastikan bahawa pengguna menikmati perkhidmatan terbaik selain memperkenalkan ciri baharu pada masa depan,” katanya. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *