Sabah Cadang Swastakan Bekalan Air

Timbalan Ketua Menteri Sabah I, Datuk Seri Bung Moktar Radin.

KOTA KINABALU: Sabah bercadang menswastakan perkhidmatan bekalan air sebagai langkah untuk mengatasi gangguan bekalan air yang kerap berlaku di negeri itu.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, langkah itu bagi memastikan rungutan pengguna terhadap perkhidmatan Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) ketika ini dapat dikurangkan.

Beliau berkata, sejak menjadi Menteri Kerja Raya negeri yang turut menjaga hal ehwal bekalan air negeri, beliau menjadi sasaran aduan jika berlaku gangguan bekalan di mana-mana kawasan.

“Telefon saya sudah jadi seperti telefon awam tempat rakyat menyalurkan aduan mengenai masalah air sejak saya menjaga utiliti ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Belanjawan Sabah 2021 bagi Kementerian Kerja Raya Sabah pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, hari ini.

Berikutan keadaan itu, beliau berkata, selain untuk memastikan kerugian dialami kerajaan dapat ditangani, perkhidmatan bekalan air wajar diswastakan.

Sementara itu, mengenai projek Lebuh Raya Pan Borneo Sabah, beliau kekal dengan pendirian untuk meneruskan projek itu secara inisiatif kewangan swasta (PFI).

“Saya sudah jumpa dengan Perdana Menteri, Menteri Kerja Raya dan Menteri Kewangan (di peringkat Persekutuan) mengenai perkara ini kerana kita tidak mahu projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah lewat disiapkan.

“Kita mahu buat semua pakej secara PFI bermula tahun depan. Saya juga sudah berjumpa dengan pelabur yang menyatakan minat untuk melaksanakan projek ini,” katanya.

Dalam hal lain, perkhidmatan skytrain dicadang dibangunkan di Kota Kinabalu sebagai langkah mengatasi masalah kesesakan lalu lintas dan kelemahan sistem pengangkutan awam sedia ada.

Bung Moktar berkata, cadangan itu akan direalisasikan dalam tempoh lima tahun selepas perancangan mengenainya diperincikan.

“Kita sedar untuk melaksanakan projek ini, ia memerlukan perancangan yang baik termasuk memastikan orang ramai tidak dibebani dengan kos tambang yang tinggi,” katanya

Beliau berkata perkhidmatan itu dicadang bermula dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) ke pusat bandar raya dan lokasi lain seperti 1Borneo dan Putatan.

“Apabila skytrain sudah ada nanti, orang ramai boleh meletakkan kereta seperti di Putatan dan menaiki skytrain ke Kota Kinabalu. Ini dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas,” katanya. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *