Rasa Janggal Tiada Caroling Sempena Krismas

Kumpulan Koir Kg Hungab yang disertai Conrad.

KOTA KINABALU: Setiap tahun aktiviti ‘caroling’ (nyanyian koir) dari rumah ke rumah antara yang ditunggu-tunggu apabila menjelang perayaan Krismas.

Namun, tahun ini situasi agak berbeza kerana tiada nyanyian caroling yang kedengaran di kawasan kejiranan di Kampung (Kg) Hungab.

Conrad Bensing

Conrad Bensing,46, berkata, perayaan Krismas yang diserikan dengan aktiviti caroling tidak dapat dilakukan tahun ini berikutan penularan pandemik Covid-19 yang masih berlaku di Sabah.

Beliau berkata, jika setiap tahun kumpulan caroling mereka mengadakan aktiviti caroling dari rumah ke rumah tapi tidak pada tahun ini.

“Situasi tahun ini memang berbeza. Apabila tiada caroling, terasa tidak begitu meriah kerana tidak dapat berkumpul bersama kawan-kawan.

“Biasanya menjelang musim perayaan Krismas, saya bersama dengan kumpulan caroling Kg Hungab akan berjalan dari rumah ke rumah untuk caroling. Selepas caroling selesai menyanyi, kami akan duduk bersembang sambil minum-minum.

“Tapi tahun ini terasa janggal sebab tiada nyanyian caroling yang kedengaran di kawasan kejiranan kami,” katanya kepada Borneo Today, hari ini.

Kumpulan Koir Kg Hungab yang disertai Conrad.

Namun, usaha dilaksana oleh Rotary Club Penampang dalam menganjurkan pertandingan caroling secara virtual sejak pertengahan bulan ini memberi ruang kepada Conrad dan kumpulan carolingnya, Hungad Harmonic Choir menyertai pertandingan secara online itu.

Katanya, ia memberi satu pengalaman yang berbeza kerana buat pertama kali mereka mengadakan caroling secara virtual tanpa bersemuka antara satu sama lain.

“Untuk pertandingan ini, kami menghantar rakaman video untuk kategori berkumpulan. Terdapat kira-kira empat kumpulan yang menyertai pertandingan amal itu,” ujarnya.

Rotary Club Penampang menganjurkan pertandingan nyanyian sempena Krismas itu bagi mengumpul dana untuk membantu penduduk di Kampung Togudon Penampang dalam mendapatkan bekalan air bersih dari graviti dan tandas awam.

Video nyanyian koir yang paling banyak mendapat ‘like’ di Facebook Rotary Club turut berpeluag mendapat hadiah RM1,000 bagi kategori kumpulan.

Berkongsi cara sambutan Krismas pada tahun ini, Conrad berkata, mereka sekeluarga akan menyertai misa di Gereja ST Michael pada petang ini dan esok.

Katanya, mereka perlu mendaftar lebih awal untuk menyertai misa di gereja kerana tempat adalah terhad bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

Menurutnya, biarpun aktiviti kunjung-mengunjung dibenarkan tapi, mereka memilih untuk meraikan Krismas dalam kalangan ahli keluarga sahaja.

“Kami tidak akan pergi rumah saudara mara kerana saya fikir masing-masing takut untuk berjalan. Kami memilih untuk berada di rumah sahaja. Untuk yang mempunyai orang tua dan anak kecil di rumah pasti tidak mahu mendedahkan keluarga mereka kepada jangkitan Covid-19.

Tambahnya, walaupun sambutan Krismas tahun ini tidak semeriah tahun-tahun sebelumnya namun, apa yang penting, keselamatan diri dan keluarga sentiasa terjamin. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *