Jangan Berurusan Dengan ‘Orang Tengah’ Mohon i-Sinar

KUALA LUMPUR: Polis menasihatkan orang ramai yang mahu membuat permohonan i-Sinar supaya berurusan terus di pejabat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan bukan melalui pihak yang mengaku sebagai ejen atau orang tengah.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Zainuddin Yaacob, berkata pihaknya yakin ada pihak akan cuba mengambil kesempatan untuk melakukan penipuan dengan menawarkan khidmat membantu proses permohonan.

“Difahamkan, KWSP tidak melantik mana-mana pihak untuk membantu pemohon membuat permohonan, justeru orang ramai jangan mudah terpedaya dengan taktik mana-mana pihak yang mengaku sebagai ejen atau orang tengah.

“Buat masa ini kita belum menerima sebarang aduan berhubung kejadian seumpama itu namun kita bimbang ada pihak yang cuba mengambil kesempatan,” katanya dalam sesi wawancara di pejabatnya di Menara KPJ di sini, hari ini.

Beliau berkata, orang ramai diminta berhati-hati sekiranya ditawarkan khidmat sedemikian kerana sindiket yang menjalankan penipuan biasanya akan meminta wang imbuhan untuk khidmat yang diberikan.

Dalam pada itu, katanya pihaknya juga yakin ada pihak yang akan cuba memperdaya orang ramai yang berjaya membuat pengeluaran i-Sinar untuk melaburkan wang itu dalam skim pelaburan tertentu yang menjanjikan pulangan lumayan.

“Perkara sebegini memang biasa berlaku. Pasti ada pihak yang cuba mengambil kesempatan untuk menarik mereka menyertai skim-skim pelaburan yang menjanjikan pulangan lumayan dalam masa singkat.

“Kita tidak mahu ada yang terpedaya dan menggunakan wang simpanan yang dikeluarkan untuk menyertai pelaburan yang belum tentu sah dan akhirnya menjadi mangsa penipuan,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, orang ramai juga dinasihatkan untuk menyemak dengan teliti latar belakang syarikat sebelum membuat sebarang pelaburan, lebih-lebih lagi yang menjanjikan pulangan dalam tempoh singkat.

“Pelaburan yang sah dan tiada unsur penipuan biasanya akan memakan masa yang panjang, bukannya dalam tempoh dua atau tiga bulan kita sudah mendapat keuntungan.

“Jangan mudah percaya dengan janji-janji manis dan jangan malas buat semakan. Pelbagai agensi yang berkaitan kini menyediakan pelbagai platform untuk memudahkan kita berbuat demikian.

“Ini termasuk aplikasi Semak Mule yang dibangunkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menyemak akaun bank dan nombor telefon yang digunakan sindiket penipuan,” jelas Zainuddin.

Beliau berkata, Bank Negara Malaysia (BNM) pada laman webnya turut menyenaraikan skim-skim pelaburan dan syarikat yang disenarai hitam atau didapati menjalankan kegiatan pelaburan tanpa kelulusan.

Semakan perkara berkaitan juga boleh dibuat menerusi laman web Suruhanjaya Sekuriti (SC) serta agensi lain seperti Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM). – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *