Covid-19: Kluster Baharu Di Tenom Berpunca Dari Majlis Keramaian

KOTA KINABALU: Sabah mencatatkan satu lagi kluster baharu yang berpunca dari majlis keramaian di Tenom.

Kluster yang dikenali sebagai kluster Saga Tengah ini mencatatkan lima kes baharu, dengan kumulatif 16 kes positif.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun dalam satu kenyataan berkata, kes positif baharu Covid-19 di Sabah hari ini menurun kepada 189 kes berbanding, 252 kes semalam.

Manakala, satu kematian dilaporkan di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu dan ia menjadikan kumulatif kematian di Sabah menjadi 253 kes.

Daripada 189 kes baharu hari ini, Kota Kinabalu mencatatkan kes tertinggi dengan 41 kes, diikuti dengan Penampang (28), Lahad Datu (28), Sandakan (23), Tawau (17), Putatan (14), Kota Belud (10), Papar(7), Tenom (6), Tuaran (5), Semporna (4) dan Beluran (3).

Manakala, satu kes dilaporkan di Kalabakan, Beaufort dan Sipitang.

Hari ini Kudat bertukar dari zon merah kepada zon jingga manakala, Tenom berubah dari zon kuning kepada zon jingga.

Masidi berkata, daripada 189 kes positif itu, sebanyak 111 kes dari saringan kontak rapat, saringan bergejala 26 kes, saringan kluster baharu dan kluster-kluster sedia ada 21 kes, saringan komuniti satu kes dan 30 kes adalah dari lain-lain kategori.

Sementara, sebanyak 286 kes pulih dilaporkan, dengan kumulatif kes sebanyak 32,883 kes.

Setakat ini, sebanyak 35,166 kes Covid-19 dilaporkan di Sabah dengan 1,676 kes aktif yang sedang menerima rawatan, iaitu 608 orang di hospital dan 1,071 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC).

Terdapat 57 orang ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 13 orang memerlukan alat bantuan pernafasan.

Katanya, kapasiti katil Covid-19 di seluruh Sabah ketika ini kekal dengan 6,394 katil dengan peratusan penggunaan adalah 26.26 peratus.

Dalam perkembangan lain, agihan bakul makanan di Sabah setakat ini adalah 302,883 bakul makanan telah diagihkan kepada golongan sasar. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *