SSB: Sabah Gubal Undang-Undang Larang Plastik Sekali Guna & Penyedut Minuman

Sabah bakal menjadi antara negeri terawal melarang penggunaan beg dan penyedut minuman plastik menerusi penggubalan undang-undang berkaitan

KOTA KINABALU: Sabah bakal menjadi antara negeri terawal melarang penggunaan beg plastik sekali guna dan penyedut minuman plastik menerusi penggubalan undang-undang berkaitan.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Masidi Manjun, berkata kementeriannya sedang memuktamadkan Undang-Undang Kecil Larangan Penggunaan Plastik Sekali Guna dan Penyedut Minuman di Premis-Premis Perniagaan.

Beliau berkata, undang-undang kecil sebagai panduan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu adalah antara tiga undang-undang yang sedang digubal bagi membudayakan pengurusan sisa pepejal yang efisien ke arah kelestarian alam sekitar negeri ini.

Dua lagi undang-undang yang turut dimuktamadkan katanya ialah Enakmen Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam Negeri Sabah serta Undang-Undang Kecil bagi Kutipan Fi Utiliti dan Ameniti Kerajaan Tempatan.

“Pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam yang cekap dan efisien juga adalah antara fokus utama kementerian saya,” katanya ketika menggulung perbahasan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, semalam.

Katanya, pada tahun depan, kementeriannya menerima peruntukan RM5.1 juta untuk melaksanakan inisiatif sisa pepejal termasuk pembekalan mesin pemproses sisa makanan bagi melupuskan sisa makanan atau organik di setiap PBT.

Peruntukan itu, katanya turut digunakan untuk membekalkan tong sampah jenis besi dan kontena 3R mudah alih kepada semua PBT sebagai pusat kutipan bahan kitar semula seperti kertas, plastik dan kaca bagi meningkatkan budaya hijau melalui aktiviti 3R (Reduce, Reuse, Recycle).

“Pada tahun 2021, sebanyak RM1.51 juta turut disediakan menerusi peruntukan kerajaan negeri untuk menaik taraf dua tapak pelupusan sampah iaitu di Papar dan Semporna serta membina satu tapak pelupusan sampah di Pulau Banggi.

“Sebanyak 13 tapak pelupusan sampah milik PBT akan dinaik taraf di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12),” katanya.

Masidi yang juga Menteri Kewangan II Sabah berkata, Projek Tapak Pelupusan Sanitari yang dibangunkan di Bukit Gemok, Tawau pula dijangka mula beroperasi pada tahun depan.

Pembukaan tapak itu, katanya bagi memastikan sampah yang dihantar dapat dilupuskan dengan selamat dan teratur.

Katanya, lebih banyak tapak pelupusan sampah berstatus Sanitari Landfil Level 4 yang lebih kos efektif akan dibangunkan di seluruh Sabah.

Kementerian saya juga akan memperhebat pelaksanaan kempen kesedaran dalam kalangan komuniti mengenai pengurangan sampah, kitar semula, penggunaan kompos dan pengasingan sisa makanan,” katanya. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *