Sabah Rugi RM456 Juta Akibat Kecurian Air, Elektrik

KOTA KINABALU: Sabah kerugian RM456.7 juta akibat kecurian bekalan air dan elektrik dalam tempoh 10 tahun lalu.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata bagi bekalan air, kerugian sebanyak RM342 juta dilaporkan dalam tempoh itu, manakala RM114.7 juta kerugian akibat kecurian elektrik.

Beliau berkata, bagi bekalan elektrik, daripada jumlah kerugian itu, sebanyak RM90 juta berpunca daripada penyambungan haram, manakala RM24.7 juta kerugian akibat gangguan meter.

“Bagi kes gangguan meter sebanyak 3,408 kes dikesan sejak 2010 sehingga kini dan mengakibatkan kerugian sebanyak RM24.7 juta kepada Sabah Electricity Sdn Bhd,” katanya pada sesi soal jawab Sidang Dewan Undangan Negeri Sabah, di sini, hari ini.

Beliau yang juga Menteri Kerja Raya negeri menjawab soalan Dr Aliakbar Gulasan (PAS-Dilantik) mengenai kerugian ditanggung kerajaan akibat penyambungan haram elektrik dan air.

Bagi mengatasi masalah penyambungan haram elektrik, Bung Moktar berkata, SESB menjalankan operasi pemotongan sambungan, kempen kesedaran bahaya perbuatan itu dan pembekalan elektrik secara pukal melalui pengagih tenaga bebas.

“Bagi mengurangkan kerugian akibat sambungan haram air, kementerian saya melalui Jabatan Air Negeri Sabah menguat kuasa tindakan mengikut peruntukan Enakmen Bekalan Air 2003.

“Antaranya menjalankan tindakan pemotongan sambungan haram secara bersepadu, mengenakan tindakan kompaun kepada pesalah dan meningkatkan lagi program kesedaran kesalahan melakukan sambungan haram,” katanya.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Aliakbar mengenai tempoh ditetapkan bagi menyelesaikan isu penyambungan haram air dan elektrik, Bung Moktar berkata, beliau mahu menyelesaikan isu itu dalam tempoh lima tahun.

Dalam satu lagi soalan tambahan daripada Asaffal Alian (WARISAN-Tungku) mengenai punca lain menyumbang kepada kerugian, Bung Moktar mengakui kerugian dialami kerajaan bagi bekalan air juga berpunca daripada sistem paip lama yang bocor.

“Memang betul, malah ada paip di negeri ini yang dipasang sejak zaman British lagi. Sudah terlalu lama dan ia sepatutnya diganti bukan saja memastikan bekalan air lebih lancar, malah air yang disalurkan itu bersih,” katanya.

Beliau berkata, isu yang menyebabkan kerugian kepada kerajaan itu akan dibentangkan pada mesyuarat Kabinet akan datang bagi menentukan langkah perlu diambil untuk mengatasinya.- BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *