2 Pelajar Universiti Didenda RM1,200 Ingkar Kuarantin

TAWAU: Dua penuntut Universiti Awam (UA) masing-masing dijatuhi hukuman denda RM1,200 oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam, kerana melanggar perintah kuarantin di rumah.

Pendaftar Mahkamah Tinggi Tawau, Amir Shah Amir Hassan, menjatuhkan hukuman itu terhadap Khairul Nizam Mohamad, 24, dan Siti Nordiana Roley, 19, yang masing-masing mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut kertas pertuduhan, kedua-kedua tertuduh masing-masing didakwa ingkar arahan terhadap perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah selama 14 hari seperti yang termaktub di dalam Seksyen 15(1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Berdasarkan kesalahan itu, mereka didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 22(b) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(a) Akta yang sama serta boleh dikenakan hukuman penjara dua tahun atau denda atau keduanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Pejabat Kesihatan Kawasan Tawau, Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran Norisya Juna manakala, kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Terdahulu, Kharul Nizam dan Siti Nordiana dalam rayuan masing-masing memohon maaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan yang sama selain memohon mahkamah meringankan hukuman memandang mereka tidak bekerja dan masih menuntut di universiti.

Bagaimanapun, Norisya dalam hujahnya memohon mahkamah menjatuhkan hukuman yang berat kerana kesalahan kedua-dua tertuduh adalah amat serius dan membabitkan kepentingan awam.

Mahkamah turut memerintahkan kedua-dua tertuduh masing-masing dihukum satu bulan penjara sekiranya mereka gagal membayar denda. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *