Mangsa Rusuhan Meninggal Dunia, Polis Sabah Terus Buru ‘Jimmy Black’

KOTA KINABALU: Polis Sabah sedang menggerakkan seluruh jentera bagi mengesan dan menangkap suspek utama dalam kes rusuhan bersenjata hingga menyebabkan kematian di Beaufort.

Salah seorang mangsa dikenali sebagai Alfred Agang disahkan meninggal dunia pagi tadi. Mendiang antara lima suspek yang ditangkap kerana melakukan jenayah rusuhan bersenjata di Restoran MyHeaven, Beaufort pada 19 Dis lalu.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali berkata, pihaknya sedang sedaya upaya menggerakkan seluruh jentera dari pelbagai jabatan dalam Polis Kontinjen Sabah dan Sarawak untuk mengesan dan menangkap suspek utama dalam kes ini iaitu Hobalan A/L N. Vello atau Jimmy Black dan seorang lagi rakannya, Kesavan A/L Perambalan.

Beliau berkata, kes tersebut bukan serangan bersenjata kumpulan gangster ke atas mangsa. Di Sabah tiada sebarang kumpulan gangster terancang seperti yang didakwa. Kes ini tidak melibatkan unsur perkauman atau gangsterism, ia hanya melibatkan sekumpulan pemuda tempatan yang nakal dan agresif ketika dalam keadaan mabuk.

Katanya, hasil siasatan lanjut yang dijalankan, polis mendapati kes ini adalah serangan oleh sekumpulan lelaki tempatan yang mabuk ke atas pemilik restoran (Jimmy Black) yang merupakan suspek utama dalam kes ini.

Kesemua lima perusuh itu mengakui mereka telah mabuk selepas menghadiri majlis perkahwinan di kuarters keretapi Beaufort, tidak jauh dari Restoran MyHeaven tersebut.

“Serangan bermula, apabila sekumpulan lelaki tempatan yang mabuk ini tidak berpuas hati dengan pemilik restoran (suspek utama) yang tidak senang dengan kehadiran pembeli arak yang mabuk dan dikatakan menganggu perniagaannya.

“Berdasarkan keterangan suspek yang ditangkap, pembeli arak berada dalam keadaan mabuk bermula dari turun kereta sehinggalah memasuki restoran tersebut. Malah, pembeli arak turut bergaduh dengan seorang pelanggan sebelum memasuki restoran tersebut,” katanya semasa sidang media, di sini hari ini.

Hazani berkata, lima daripada enam suspek dalam kes rusuhan di restoran itu telah ditangkap dan kesemua mereka mengakui terlibat menyertai rusuhan.

Katanya, pihak polis turut menahan rakan pemilik restoran yang membuat laporan awal mengenai kejadian tersebut untuk membantu siasatan.

Menurutnya, suspek yang dikenali sebagai Jimmy Black ini bukan lagi Orang Dibawah Pengawasan Polis (OPP) dan terakhir beliau dikenakan pengawasan adalah pada 2008, iaitu 12 tahun lalu.

Suspek juga telah berkahwin dengan wanita tempatan berbangsa Dusun berasal dari Keningau dan telah mempunyai lima anak. Dari rekod tiada apa-apa kes siasatan jenayah dibuka berkaitan penama Hobalan ini dari 2008 hingga tarikh kejadian.

Katanya, kes ini disiasat mengikut Seksyen 148/302 Kanun Keseksaan atas kesalahan merusuh bersenjata hingga menyebabkan kematian.

Dibawah seksyen ini, mana-mana orang yang disyaki terlibat atau dipercayai ada kaitan dalam kes ini boleh ditangkap tanpa waran. Oleh itu tindakan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah Beaufort dalam kes ini adalah betul dan tepat tanpa melanggar apa-apa peruntukan undang-undang negara.

Hazani menegaskan dalam kes itu, tindakan polis tidak menyebelahi mana-mana pihak dan tindakan menangkap pihak-pihak terlibat telah dibuat. Turut ditahan dua orang isteri dan rakan suspek utama yang ditahan reman bagi membantu siasatan.

Berdasarkan keterangan perusuh, lima lelaki tempatan yang merusuh dalam keadaan mabuk itu telah bertindak memecahkan kerusi dan meja restoran bagi mencari suspek utama (Jimmy) yang dikatakan sedang menyembunyikan diri dalam restoran tersebut.

Hazani berkata, pihak polis adalah satu pasukan yang profesional dalam menangani situasi melibatkan kes-kes jenayah tanpa mengira suku kaum atau bangsa berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada di negara ini.

“Sebarang tohmahan yang dilemparkan kepada pihak polis perlulah berdasarkan fakta yang berasas.

“Pihak polis sentiasa peka akan situasi semasa dan kes yang berlaku telah diambil tindakan dengan pantas serta tidak berkrompomi dengan apa-apa perlakuan jenayah yang berlaku khasnya dalam kes ini,” jelasnya. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *