Kerajaan Sabah Akan Pertingkat Kemudahan Internet Di Pendalaman

KOTA KINABALU: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi menambah baik kemudahan internet di kawasan pedalaman di Sabah.

Menterinya, Datuk Yakub Khan berkata, kerajaan akan membina lebih banyak menara baharu untuk mempertingkatkan jaringan jalur lebar mudah alih di negeri ini.

Dibawah Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA), sebanyak 423 menara baharu akan dibina untuk meningkatkan perkhidmatan jalur lebar mudah alih serta menaik taraf 2,221 alat pemancar komunikasi kepada teknologi 4G. Kesemua inisiatif ini akan dilaksanakan secara berperingkat bermula tahun ini sehingga 2022.

Beliau berkata demikian semasa menjawab pertanyaan lisan Datuk Mohamaddin Ketapi (Warisan-Segama) mengenai usaha menaik taraf kemudahan internet dan capaian komunikasi di negeri ini.

Menerusi JENDELA yang diumukan Perdana Menteri pada 29 Ogos lalu, penambahbaikan infrastruktur digital yang dilaksanakan secara berfasa bagi memberikan kualiti perkhidmatan yang sama rata antara kawasan bandar dan luar bandar.

Sasaran fasa pertama yang kini telah bermula sehingga tahun 2022 adalah penambahan daripada 4.95 juta premis kepada 7.50 juta premis mendapat akses kepada jalur lebar talian tetap berkelajuan gigabit; perluasan liputan jalur lebar mudah alih 4G daripada 91.8% kepada 96.9% di kawasan yang berpenduduk; serta mempertingkatkan kelajuan purata jalur lebar mudah alih daripada 25Mbps kepada 35Mbps.

Tambahnya, kerajaan negeri akan sentiasa memberikan kerjasama kepada SKMM dan bertindak sebagai pemudahcara dalam proses kelulusan tapak dan proses-proses perolehan yang lain. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *