Zon Jingga Meningkat Di Sabah

Zon jingga bertambah di Sabah selain wujud kluster jangkitan COVID-19 baharu di Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU: Sabah merekod pertambahan dua zon jingga COVID-19 semalam, menjadikan empat daerah berada dalam zon itu berbanding dua daerah sebelum ini.

Daerah terbabit adalah Kudat yang sebelum ini zon merah manakala Ranau daripada zon kuning kepada zon jingga.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Masidi Manjun, berkata dua lagi daerah yang berada dalam zon jingga semalam ialah Pitas dan Kalabakan.

Beliau turut berkata, satu kluster baharu dilaporkan semalam iaitu Kluster Estate Maju di daerah ini dengan 18 kes dilaporkan.

“Kluster ini dikesan melalui saringan kontak rapat dan saringan pekerjaan di sebuah kilang pemprosesan makanan haiwan,” katanya dalam kenyataan media perkembangan semasa COVID-19 Sabah, di sini, malam tadi.

Kota Kinabalu yang merekodkan kes tertinggi dengan 63 kes semalam adalah antara kekal dalam zon merah selain Penampang, Tuaran, Tawau, Putatan, Lahad Datu, Sandakan, Kota Belud, Keningau, Papar dan Semporna.

Daerah yang masih dalam zon kuning pula ialah Beaufort, Kinabatangan, Tenom, Telupid, Beluran, Tongod, Kunak Kuala Penyu, Sipitang, Tambunan dan Kota Marudu.

Masidi berkata, secara keseluruhan, Sabah mencatat 196 kes dengan dua kes kematian di Tawau dan Sandakan, menjadikan jumlah kumulatif COVID-19 di Sabah setakat ini sebanyak 34,478 kes.

Katanya, seramai 266 pesakit COVID-19 dilaporkan sembuh dan dibenarkan keluar hospital semalam, menjadikan kumulatif sembuh setakat ini seramai 31,887 orang.

“Seramai 1,925 pesakit lagi menerima rawatan iaitu 609 orang di hospital dan 1,316 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) dengan 60 pesakit dirawat dalam unit rawatan rapi (ICU) termasuk 14 orang memerlukan bantuan alat pernafasan,” katanya.

Beliau berkata, daripada 196 kes positif COVID-19 yang dicatatkan semalam, sebanyak 86 kes atau 43.9 peratus berpunca daripada saringan kontak rapat, manakala saringan kluster baharu dan kluster sedia ada sebanyak 49 kes atau 25 peratus.- BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *