Sabah Benarkan Majlis Keramaian Dengan 50% Kapasiti

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah hari ini mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) bagi beberapa aktiviti termasuk aktiviti sosial sepanjang lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun dalam satu kenyataan berkata, kerajaan bersetuju memberi kelonggaran SOP sedia ada bagi beberapa aktiviti seperti pelancongan dan kebudayaan; mesyuarat bersemuka, MICE (mesyuarat, insentif, konvensyen dan pameran), seminar/bengkel/persidangan/pameran, serta penganjuran majlis keramaian.

Masidi Manjun

Untuk majlis keramaian seperti majlis rasmi dan tidak rasmi kerajaan dan swasta, majlis sosial seperti kenduri, majlis perkahwinan dan pertunangan, resepsi, majlis aqiqah, doa selamat, tahlil, sambutan ulang tahun dan hari kelahiran dibenarkan dengan kapasiti 50 peratus keluasan premis dengan mematuhi penjarakan fizikal.

Beliau berkata, untuk MICE, seminar, bengkel dan persidangan, penganjuran turut dibenarkan dengan kapasiti 50 peratus daripada kapasiti premis dengan mematuhi penjarakan fizikal.

Menurutnya, bagi sebarang aktiviti yang tidak termasuk dalam senarai aktiviti tidak dibenarkan adalah dibenarkan berdasarkan SOP yang ditetapkan.

Sebarang permohonan pengecualian hendaklah dibuat melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah (Covid-19) dan dirujuk kepada sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Aktiviti yang tidak dibenarkan termasuk aktiviti kelab malam atau pub, panggung wayang, konsert atau acara langsung dengan kehadiran penonton. Selain itu, aktiviti sukan bersentuhan fizikal masih belum dibenarkan. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *