Kanak-Kanak Perempuan 2 Tahun Maut Akibat Lemas

LAHAD DATU: Seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun maut selepas terjatuh ke Sungai Bangingod, Tungku, di sini dan dihanyutkan arus sejauh lebih 100 meter, semalam.

Dalam kejadian 10.30 pagi itu, mangsa dikatakan ke sungai berkenaan bersama kakaknya yang berusia empat tahun, tanpa disedari nenek mereka yang sedang memetik cili di belakang rumah.

Berdasarkan maklumat, kedua-dua mereka terjatuh ke sungai, namun seorang daripadanya sempat diselamatkan.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Rohan Shah Ahmad, berkata nenek mangsa, 49, bersama seorang ahli keluarga terdengar jeritan dua kanak-kanak itu sebelum bergegas ke tepi sungai.

Katanya, mereka kemudiannya sempat menarik seorang mangsa, namun seorang lagi terus dihanyutkan arus deras.

“Polis yang menerima maklumat mendapatkan bantuan Pasukan Gerakan Am (PGA) untuk membantu operasi mencari mangsa, selain Pasukan Bomba dan Penyelamat Sukarela FELDA Gugusan Sahabat bersama penduduk sekitar.

“Mangsa akhirnya ditemui terapung kira-kira 100 meter dari lokasi kejadian dan mayatnya dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Lahad Datu untuk bedah siasat,” katanya.

Rohan berkata, polis turut mendapatkan perintah tahanan reman terhadap nenek dan ibu bapa mangsa untuk membantu siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 33 Akta Kanak-Kanak 2001 (Pindaan 2016) atas kesalahan membiarkan kanak-kanak tanpa pengawasan yang munasabah atau cuai.

Siasatan turut dijalankan mengikut Akta Imigresen 1959/63 terhadap bapa mangsa yang juga warga negara Indonesia.

“Ini adalah kes cuai kedua berlaku dalam tempoh sebulan selepas kejadian seorang lagi kanak-kanak maut dibaham buaya disebabkan kecuaian penjaga dan ibu bapa mengawasi anak masing-masing,” katanya. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *