Contohi Perak Beri Peruntukan Sama Rata, Kata ADUN PKR Sabah

Christina Liew berkata perbezaan politik perlu diketepikan bagi mencapai matlamat utama meringankan beban rakyat yang terjejas teruk pandemik COVID-19.

KOTA KINABALU: ADUN PKR, Christina Liew, menyeru kerajaan Sabah mencontohi kerajaan Perak dengan memberi layanan adil kepada semua wakil rakyat, termasuk pembangkang dalam isu pengagihan peruntukan bantuan COVID-19.

Katanya, perbezaan politik perlu diketepikan bagi mencapai matlamat utama, iaitu meringankan beban rakyat yang terjejas teruk akibat perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) susulan gelombang ketiga pandemik COVID-19.

“Awal tahun ini, kerajaan Perak mengumumkan peruntukan bawah tabung bantuan COVID-19 berjumlah RM11.8 juta untuk diagihkan kepada semua 59 ADUN, termasuk pembangkang.

“Ia (peruntukan) juga diagihkan secara sama rata, iaitu masing-masing RM200,000 bagi membantu penduduk di kawasan yang memerlukan bantuan pada masa yang sangat mencabar ini,” katanya ketika berucap sempena perbahasan Belanjawan 2021 Sabah di DUN Sabah.

Christina turut menyeru kerajaan negeri pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) supaya mencotohi pendekatan kerajaan Johor yang mengagihkan peruntukan pembangunan sama rata kepada semua wakil rakyat.

“Saya berharap kerajaan negeri dapat mengikut jejak langkah kerajaan Johor bagi membuktikan bahawa kerajaan Sabah yang ada sekarang mengamalkan pentadbiran inklusif,” katanya.

Terdahulu, beliau turut meminta kerajaan supaya memperhebatkan langkah pencegahan bagi mengawal semula keadaan seperti sebelum berlakunya gelombang ketiga COVID-19.

“Ancaman berterusan ini memerlukan penggubalan rancangan dan strategi jangka panjang untuk mengekang penularan COVID-19 serta kehilangan nyawa, sementara menunggu kelulusan kerajaan mengenai penggunaan vaksin.

“Kita juga berharap kerajaan persekutuan akan menghantar stok vaksin yang mencukupi ke Sabah bagi memenuhi keperluan dan permintaan,” katanya.- FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *