PKPB Seluruh Sabah Dilanjutkan Hingga 31 Disember

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun

KOTA KINABALU: Kerajaan memutuskan untuk melanjutkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh Sabah bermula 21 hingga 31 Disember ini.

Keputusan itu dibuat atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang menjangka kes positif Covid-19 di Sabah akan meningkat berikutan saringan pekerja bukan warganegara (BWN) yang baru bermula pada 16 Dis.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Masidi Manjun dalam satu kenyataan berkata, sehingga 17 Dis, bilangan kes positif Covid-19 yang direkodkan di Sabah adalah 33,823 kes.

“Dalam tempoh 14 hari (2 hingga 15 Dis), KKM mengesahkan jumlah kes harian Covid-19 di seluruh negeri ini masih lagi tinggi dan kebanyakan kluster adalah daripada kluster kediaman yang membabitkan warganegara,” katanya.

Pelaksanaan PKPB di seluruh Sabah mula berkuat kuasa pada 13 Oktober dan kemudian dilanjutkan sehingga 20 Dis.

Dalam perkembangan lain, Masidi mengumumkan beberapa kelonggaran turut diberikan oleh kerajaan negeri dalam sektor pelancongan dan kebudayaan di Sabah berkuat kuasa mulai esok (19 Dis).

Katanya, kerajaan memberi kebenaran untuk melaksanakan mesyuarat, inisiatif, persidangan, pameran (MICE), mesyuarat korporat seperti pameran pelancongan dan karnival kraf.

Selain itu, pembukaan zoo, ladang, taman rekreasi, sukan lasak dan ekstrem, akuarium juga dibenarkan.

“Disamping itu, kebenaran juga diberikan untuk pameran hasil seni, budaya & warisan. Selain itu, taman tema & pusat hiburan keluarga turut dibenarkan ia termasuk taman permainan dalam bangunan, taman tema air, gym permainan kanak-kanak, hiburan permainan berasaskan peralatan mesin dan teknologi dan hiburan pendidikan.

“Namun, kehadiran pengunjung bagi sektor-sektor yang dilonggarkan ini adalah tertakluk kepada 50 peratus keluasan premis dengan penjarakan fizikal.

“Bagi sektor melibatkan persembahan pentas, ianya dibenarkan tetapi tanpa kehadiran penonton,” jelasnya.

Dalam pada itu, kerajaan negeri turut membenarkan pembukaan sektor sukan dan rekreasi termasuk sukan air secara berfasa.

Berkuatkuasa Januari 2021, aktiviti sukan dan rekreasi kategori individu dan berpasukan bagi tujuan aktiviti latihan, permainan dan perlawanan (indoor dan outdoor) tanpa penonton adalah dibenarkan.

Namun, kapasiti pengguna bagi setiap premis yang terlibat hendaklah tidak melebihi 50 peratus kapasiti keseluruhan premis tersebut.

Untuk aktiviti massa serta acara dan pertandingan sukan dengan kehadiran penonton adalah tidak dibenarkan dan tiada sebarang aktiviti sukan dan rekreasi dibenarkan di kawasan PKPD.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *