Jangan Sebar Fitnah – Polis Beaufort

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Azmir A Razak

BEAUFORT: Orang ramai di daerah ini dinasihatkan supaya bertenang dan tidak menimbulkan spekulasi liar berhubung kejadian tetak di sebuah restoran di Jalan Beaufort Jaya, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Azmir A Razak berkata, ini berikutan terdapat banyak dakwaan dan fitnah terutamanya di laman sosial berhubung kejadian berkenaan yang boleh mencetuskan kegusaran awam.

Katanya, setakat ini siasatan diteruskan dan polis masih menjalankan operasi mengesan suspek yang masih bebas.

“Orang ramai dinasihatkan supaya bertenang dan tidak menimbulkan spekulasi liar dan fitnah.

“Jika keadaan masih berterusan, polis tiada pilihan untuk membuat siasatan terhadap dakwaan fitnah yang dikeluarkan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 223 Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) 1998,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Sementara itu, Azmir berkata, polis sudah menahan individu yang terbabit termasuk penyerang yang membawa senjata seperti parang dan kapak.

“Polis juga sedang giat mengesan suspek utama dalam kes ini dan seorang lagi rakannya yang masih bebas,” katanya.

Dalam kejadian jam 11.40 malam, Jumaat lalu, seorang lelaki parah selepas ditetak menggunakan parang manakala seorang lagi cedera di kepala akibat dilibas tali pinggang.

Siasatan awal polis mendapati punca pergaduhan itu tercetus selepas seorang pelanggan yang datang bersama tiga rakannya untuk membeli minuman keras bertengkar dengan pemilik restoran.- HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *