Sky Mirror Labuan Di Pulau Larai-Larai, Tarikan Terbaharu Pelancong

Foto BERNAMA

LABUAN, 18 Dis : Labuan bakal memiliki tarikan ‘Sky Mirror’ apabila fenomena semula jadi  itu dilihat berlaku di Pulau Larai-Larai di perairan Kampung Bebuloh di sini.

Pulau yang baru ditemui itu terletak kira-kira 15 minit perjalanan dengan bot dari jeti Kampung Bebuloh Laut, didapati belum diterokai dan menawarkan pemandangan unik.

Apabila air surut dengan paras air laut menurun, pulau itu kelihatan terbentang luas sebesar saiz dua padang bola sepak.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan Dr Fary Akmal Osman berkata pulau yang belum terusik itu boleh menjadi pesaing kepada produk ekopelancongan Selangor iaitu Sky Mirror di Kuala Selangor.

“Apabila pasang surut air laut di situ sesuai, air yang cetek menyeliputi beting pasir menjadikannya seperti cermin besar sejauh mata memandang, dengan biasan seakan langit bercantum dengan bumi di permukaan laut.

“Fenomena semula jadi ini akan dikenali sebagai ‘Sky Mirror Labuan’, atau Salar de Uyuni, perbandingan kepada dataran garam terkenal di Bolivia yang fenomena sama juga dapat dilihat di situ.

“Jadi, bagi pengembara dari Sabah, Sarawak, Brunei dan juga Labuan mengapa perlu pergi ke Kuala Selangor atau sejauh Amerika Selatan sedangkan anda boleh menikmati pengalaman sama di sini,” katanya kepada Bernama selepas melawat pulau itu hari ini.

Beliau berkata fenomena Sky Mirror telah menjadikannya lokasi tepat untuk menghasilkan gambar yang menakjubkan dan kreatif serta menarik ramai pelancong dan jurugambar profesional untuk merakamkan pemandangan indah itu.

Fary berkata Perbadanan Labuan akan membina infrastruktur seperti jeti untuk operator bot tempatan membawa pelancong ke pulau itu.

“Kami akan memasukkan Pulau Larai-Larai ini ke dalam pakej pelancongan Labuan tahun hadapan dan dikenali sebagai Rarecation 2021,” katanya.

Beliau berkata sudah tiba waktunya untuk menghidupkan kembali sektor pelancongan yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *