Rumah Terbuka, ‘Carolling’ Krismas Tidak Dibenar Di Sabah

Rumah terbuka sambutan Krismas.- Foto NSTP

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri melarang aktiviti rumah terbuka dan ‘carolling’ (mendendangkan lagu) dari rumah ke rumah sempena sambutan Krismas di Sabah, minggu depan.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri Datuk Masidi Manjun berkata, larangan itu merangkumi semua kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Beliau berkata, hanya dua aktiviti itu yang dilarang sepanjang sambutan Krismas, manakala upacara sembahyang dibenarkan pada 24 dan 25 Disember dengan prosedur operasi standard (SOP) ketat.

“Sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebelum ini mendengar pembentangan daripada Kementerian Perpaduan Negara mengenai SOP sambutan Krismas dan upacara sembahyang oleh penganut Kristian tidak lama lagi.

“Sehubungan dengan itu, kerajaan negeri bersetuju untuk membenarkan penganut Kristian mengikuti upacara sembahyang pada 24 Disember dan 25 Disember di kawasan yang dilaksanakan PKPB dengan SOP ketat yang ditetapkan.

“Sambutan Krismas seperti kunjung mengunjung hanya dibenarkan pada 25 Disember sahaja, bagaimanapun, rumah terbuka dan aktiviti ‘carolling’ dari rumah ke rumah di kawasan PKPB dan PKPD adalah tidak dibenarkan,” katanya dalam kenyataan media perkembangan Covid-19 Sabah, di sini, malam ini.

Masidi yang juga jurucakap Covid-19 negeri berkata, orang ramai boleh merujuk SOP sambutan Krismas yang terperinci di laman sesawang MKN.

Sementara itu, beliau berkata pelanjutan PKPB di Sabah hingga 31 Disember ini seperti dimaklumkan MKN, mengambil kira situasi semasa kes Covid-19 di Sabah yang masih tinggi.

“Dalam tempoh 14 hari bermula 2 Disember hingga 15 Disember lalu, Kementerian Keeihatan Malaysia (KKM) mengesahkan jumlah kes harian Covid-19 di Sabah masih lagi tinggi dan kebanyakan kluster adalah daripada kediaman yang membabitkan warganegara.

“KKM turut menjangkakan kes positif Covid-19 akan terus meningkat berikutan saringan pekerja bukan warga negara yang baru bermula pada 16 Disember.

“Atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju agar PKPB di Sabah dilanjutkan lagi bermula 21 hingga 31 Disember,” katanya.

Perlanjutan PKPB itu diumumkan Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sidang medianya petang tadi.

Hari ini, Sabah mencatat sebanyak 260 kes baharu positif Covid-19, menjadikan jumlah kumulatif setakat ini sebanyak 34,083 kes.

Tiada kes kematian dilaporkan hari ini, manakala seramai 274 pesakit Covid-19 sembuh dan dibenarkan keluar hospital menjadikan jumlah kumulatif sembuh setakat ini seramai 31,279 orang.- HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *