Penjawat Awam Sabah Dapat Bantuan Khas RM600

Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Mohd Noor (kanan) bersama timbalannya (dari kiri) Datuk Dr Jeffri Kitingan, Datuk Dr Joachim Gunsalam dan Datuk Bung Moktar Radin menunjukkan teks ucapan Belanjawan Sabah 2021 sebelum persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah di Kota Kinabalu, hari ini. – Foto BERNAMA

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah mengumumkan pemberian bantuan khas sebanyak RM600 kepada penjawat awam negeri yang akan dibayar pada Januari depan.

Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor ketika membentangkan Belanjawan Sabah 2021, berkata pemberian itu membabitkan peruntukan sebanyak RM8.7 juta.

“Saya berharap insentif ini akan memberi suntikan semangat kepada penjawat awam negeri untuk berusaha lebih gigih demi meningkatkan mutu perkhidmatan kepada rakyat.

“Pada masa yang sama, diharapkan perkhidmatan awam dapat terus berfungsi dengan berkesan melalui strategi dan pendekatan norma baharu yang bersesuaian serta mematuhi tuntutan norma baharu dalam tempoh penularan pandemik COVID-19,” katanya.

Beliau berkata, sejajar dengan aspirasi Perkhidmatan Awam Negeri untuk menyediakan keperluan sumber manusia masa hadapan, kerajaan negeri sentiasa memberikan keutamaan terhadap pembangunan keupayaan dan kompetensi sumber manusia.

Jelasnya, usaha pendigitalan perkhidmatan awam dan ekonomi digital akan menjadi fokus utama pada tahun mendatang disokong langkah rasionalisasi agensi kerajaan negeri yang akan terus dilaksanakan bagi memastikan keberkesanan sistem penyampaian kerajaan.

“Sehingga November 2020, jumlah anggota perkhidmatan awam negeri yang menerima manfaat peningkatan kerjaya adalah seramai 762 orang. Jumlah itu adalah 5.26 peratus daripada 14,492 kapasiti anggota perkhidmatan awam negeri di kementerian, jabatan dan pejabat daerah.

“Program peningkatan kerjaya anggota perkhidmatan awam ini akan diteruskan pada tahun depan. Langkah ini adalah sebahagian daripada usaha untuk memberikan pengiktirafan kepada sumbangan penjawat awam di semua peringkat,” katanya.

Sementara, Hajiji turut mengumumkan pemberian Bantuan Tunai Pendaftaran Institusi Pengajian Tinggi (BUDI) sebanyak RM2,000 yang diberi secara sekali bayar kepada pelajar negeri ini yang melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi (IPT) mulai tahun depan.

Beliau turut mengumumkan pemberian RM200 seorang menerusi Bantuan Khas Tunai Peperiksaan (BAKTI) bagi pelajar yang akan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), semester akhir Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama (STAM) bagi penghujung tahun 2021.

Kedua-dua pemberian itu membabitkan peruntukan RM12 juta sebagai bantuan kepada anak-anak Sabah yang akan melanjutkan pelajaran ke IPT dan pelajar Tingkatan 5 serta Tingkatan 6 yang akan menghadapi peperiksaan. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *