Covid-19: Mesyuarat Geran Tanah Sumbang Kluster Baharu Di Ranau

KOTA KINABALU: Kluster Maringkan, iaitu kluster baharu yang dilaporkan di Sabah hari ini berpunca daripada mesyuarat geran tanah yang diadakan di Ranau.

Kluster ini melaporkan satu kes positif baharu Covid-19 dengan bilangan kumulatif kes dalam kluster ini adalah 11 kes.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun dalam satu kenyataan berkata, untuk hari ini, kes positif baharu Covid-19 dilaporkan di Sabah menurun kepada 184 kes, berbanding 268 kes dilaporkan semalam.

Sebanyak dua kes kematian dilaporkan hari ini iaitu satu kes di Kota Kinabalu dan satu kes di Sandakan.

Daerah Kota Kinabalu kembali mencatatkan kes tertinggi di Sabah iaitu dengan 61 kes, diikuti dengan Tawau 33 kes, Penampang (23), Lahad Datu (22), Tuaran (13), Sandakan (8), Putatan (5), Papar (4) dan dua kes di Kota Belud, Semporna, Tenom dan Pitas.

Manakala, satu kes dilaporkan di Ranau, Beluran, Kudat, Beaufort, Kinabatangan, Tongod dan Kunak. Dengan tambahan satu kes baharu di Kunak menjadikan daerah ini kembali kepada zon kuning setelah berada dalam zon hijau semalam.

Katanya, daripada 184 kes baharu, sebanyak 98 kes dari saringan kontak rapat di 12 daerah, saringan bergejala 37 kes, saringan kluster baharu dan kluster-kluster sedia ada 13 kes, saringan komuniti tujuh kes dan 29 kes adalah dari lain-lain kategori.

Sementara, sebanyak 263 kes pulih dilaporkan, dengan kumulatif kes sebanyak 31,005 kes.

Setakat ini, sebanyak 33,823 kes Covid-19 dilaporkan di Sabah dengan 2,117 kes aktif yang sedang menerima rawatan, iaitu 643 orang di hospital dan 1,474 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC).

Dengan dua kes kematian dilaporkan hari ini, kumulatif kematian di Sabah menjadi 249 kes.

Terdapat 58 orang ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 17 orang memerlukan alat bantuan pernafasan.

Katanya, kapasiti katil Covid-19 di seluruh Sabah ketika ini adalah 6,364 katil iaitu 948 katil di hospital dan 5,416 katil di PKRC. Manakala, peratusan penggunaan adalah 33.27 peratus.

Dalam perkembangan lain, agihan bakul makanan di Sabah setakat ini adalah 299,210 bakul makanan telah diagihkan kepada golongan sasar.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *