Bung Moktar Cadang Penubuhan Majlis Presiden Gabungan Rakyat Sabah

Pengerusi UMNO UMNO merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin.


KOTA KINABALU: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin akan mencadangkan penubuhan Majlis Presiden Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada mesyuarat yang dijangka pada 11 Januari depan.

GRS merangkumi gabungan Perikatan Nasional (PN), BN dan Parti Bersatu Sabah (PBS) yang membentuk kerajaan negeri selepas menang Pilihan Raya Negeri pada 26 September lalu.

“Kami merancang untuk mengadakan mesyuarat pada 11 Januari ini. Ya, kami akan membincangkan mengenainya (cadangan penubuhan Majlis Presiden GRS),” katanya.

Timbalan Ketua Menteri Sabah itu bercakap demikian kepada pemberita selepas penyerahan Watikah Pelantikan Pengerusi dan Ahli-Ahli Lembaga Pengarah bagi empat agensi kerajaan negeri di sini, hari ini.

Bung Moktar diminta mengulas cadangan penubuhan Majlis Presiden GRS, seperti yang disuarakannya sebelum ini.

Sebelum ini, media melaporkan Bung Moktar percaya GRS perlu ada majlis presidennya sendiri, antara lain berperanan dalam membincangkan isu berbangkit secara lebih mendalam ke arah memperkukuhkan lagi gabungan berkenaan.

Pada 28 November lalu, Pengerusi PN merangkap Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang juga Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mencadangkan supaya pertemuan antara ketua parti yang membentuk kerajaan PN diadakan secara lebih kerap.

Sehubungan itu, Muhyiddin berkata mungkin sudah sampai masanya sebuah majlis presiden yang dianggotai ketua parti dalam PN, BN, GRS dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) diwujudkan.

Ia bagi membolehkan mesyuarat secara berkala diadakan untuk membincangkan perkara berkaitan dengan dasar ekonomi, pendidikan, sosial dan lain-lain. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *