Pencarum KWSP Digesa Waspada Taktik Penipuan Babitkan i-Sinar

KUALA LUMPUR: Kalangan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) digesa agar berwaspada terhadap aktiviti penipuan atau ‘scam’ dan sentiasa bertindak melindungi maklumat peribadi mereka.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata ini berikutan terdapat iklan-iklan di media sosial serta dalam talian yang bertujuan mengumpan pencarum untuk mengeluarkan wang simpanan mereka bagi dilaburkan dalam skim-skim berbaur penipuan, susulan pengumuman permohonan program pengeluaran Akaun 1 i-Sinar.

“Selain itu, isu penipuan dalam talian juga dilihat semakin berleluasa berikutan peningkatan transaksi dalam talian seperti pembayaran dan pembelian barangan di platform e-dagang ketika tempoh COVID-19.

“Ada juga berita mengenai ‘scammers’ (penipu) yang telah mendapatkan maklumat peribadi orang awam melalui pakej bungkusan yang dibuang, bagi mengugut serta menipu individu berkenaan untuk mendapatkan wang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam laporan Unit Pelaksanaan & Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (LAKSANA) ke-33 bagi pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN), Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) dan Pakej Rangsangan Ekonomi Kita Prihatin (KITA PRIHATIN) yang dikeluarkan hari ini.

Selain itu, Tengku Zafrul juga mengingatkan semua pencarum KWSP supaya menggunakan saluran rasmi bagi sebarang urusan membabitkan dana persaraan itu sama ada di cawangan dan kios terdekat, laman web rasmi i-Sinar iaitu isinar.kwsp.gov.my serta portal atau aplikasi i-Akaun.

“Jangan sekali-kali mendedahkan maklumat seperti nama login, kata laluan, butiran akaun bank dan pelbagai maklumat sensitif kepada platform tidak sah atau kepada orang yang tiada pengenalan sah rasmi.

“Jika anda berasakan telah ditipu atau data peribadi dikompromi, segera laporkan kepada pihak polis dan bank anda atau agensi-agensi berkaitan seperti Bank Negara Malaysia atau Suruhanjaya Sekuriti untuk tindakan lanjut,” katanya. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *