COVID-19: Pernah Merah, Kunak Kini Zon Hijau

KOTA KINABALU: Daerah Kunak yang pernah berada dalam zon merah kini bertukar menjadi zon hijau setelah tiada kes positif baharu dicatatkan di daerah tersebut.

Selain Kunak, daerah Semporna juga mencatatkan kes yang rendah, dengan dua kes positif baharu hari ini.

Kawalan penularan jangkitan di Kunak dan Semporna ini turut disumbangkan oleh tahap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang baik ditunjukkan penduduk di kedua-dua daerah tersebut.

Pematuhan PKPB di Kunak adalah sebanyak 98.5 peratus dan Semporna 98 peratus.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, untuk hari ini, sebanyak 268 kes positif baharu Covid-19 dilaporkan di Sabah, iaitu meningkat lapan kes berbanding 260 kes positif dilaporkan semalam.

Sebanyak lima kes kematian dilaporkan hari ini iaitu tiga kematian di Tawau dan dua di Lahad Datu. Manakala, satu kluster baharu turut dilaporkan iaitu kluster Bukit Punai dengan lima kes positif baharu.

Hari ini, Tawau mencatatkan kes tertinggi dengan 69 kes positif, diikuti dengan Lahad Datu yang mencatatkan 52 kes.

Manakala, Kota Kinabalu mencatatkan 50 kes, Penampang (34), Tuaran (20), Papar (10), Sandakan (9), Putatan (7), Ranau (4), Kota Belud (3), Beluran (3), Semporna (2), Kuala Penyu (2) dan masing-masing satu kes di Kudat, Tenom dan Telupid.

Katanya, daripada 268 kes baharu, sebanyak 108 kes dari saringan kluster baharu dan kluster-kluster sedia ada, 106 kes dikesan dari saringan kontak rapat di 14 daerah, saringan bergejala 28 kes, saringan komuniti empat kes dan 22 kes adalah dari lain-lain kategori.

Sementara, sebanyak 459 kes pulih dilaporkan, dengan kumulatif kes sebanyak 30,742 kes.

Setakat ini, sebanyak 33,639 kes Covid-19 dilaporkan di Sabah dengan 2,068 kes aktif yang sedang menerima rawatan, iaitu 606 orang di hospital dan 1,462 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC).

Dengan lima kes kematian dilaporkan hari ini, kumulatif kematian di Sabah menjadi 247 kes.

Terdapat 57 orang ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 14 orang memerlukan alat bantuan pernafasan.

Katanya, kapasiti katil Covid-19 di seluruh Sabah ketika ini adalah 6,514 katil dengan peratusan penggunaan 31.75 peratus.

Dalam perkembangan lain, agihan bakul makanan di Sabah, sebanyak 298,423 bakul makanan telah diagihkan kepada golongan sasar. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *