PKPD Dua Kampung Di Lahad Datu Dilanjutkan

KOTA KINABALU: Pelaksanaan Perintah Kawalan Diperketatkan (PKPD) di dua lokaliti di Lahad Datu dilanjutkan untuk selama 14 hari lagi.

PKPD Kampung (Kg) Dasar Baru dan Kg Desa Bajau, Lahad Datu yang dijadualkan berakhir pada 15 Dis ini akan dilanjutkan selama dua minggu bermula Rabu hingga 29 Dis ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, keputusan lanjutan itu dibuat dalam mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri atas nasihat Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) dengan persetujuan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Beliau berkata, lanjutan itu dilakukan berikutan tahap risiko semasa penularan jangkitan Covid-19 di dua lokaliti berkenaan masih tinggi. Bilangan kes positif yang dikesan di kedua-dua lokaliti  tersebut sebanyak 238 kes positif.

Pelaksanaan PKPD di kedua-dua lokaliti ini bermula pada 2 Dis dan membabitkan seramai 4,934 orang penduduk.

Untuk Kg Dasar Baru, masih terdapat 10 kes aktif dan 150 sampel belum memperoleh keputusan. Manakala, Kg Desa Bajau, terdapat 217 kes aktif dengan 1,010 sampel belum menerima keputusan.

Mengambil kira kes agak aktif dan membimbangkan di kedua-dua lokaliti ini, MKN bersetuju melanjutkan tempoh PKPD di kedua-dua lokaliti tersebut.

Sementara itu, PKPD di Pusat Tahanan Sementara (PTS) Sibuga, Sandakan akan ditamatkan esok, seperti dijadualkan.

Ketika ini, masih terdapat 29 kes aktif yang dilaporkan di PTS Sibuga.

PKPD PTS Sibuga, Sandakan berkuat kuasa pada 2 hingga 15 Dis membabitkan 1,209 orang individu terdiri daripada 1,104 tahanan dan 105 anggota.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *