Tun M Tidak Mahu Terima Sokongan Najib Untuk Bentuk Kerajaan

Tun Dr Mahathir mendakwa bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak adalah punca mengapa negara Malaysia berada pada keadaan yang lemah sekarang.

KUALA LUMPUR: Biarpun Tun Dr Mahathir Mohamad mengharapkan Ahli-ahli Dewan Rakyat dapat menolak Rang Undang-undang Pembekalan (Belanjawan) 2021 esok bagi memudahkan laluan membentuk kerajaan baharu, namun beliau masih tidak mahu bekerjasama dengan Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ujar bekas Perdana Menteri itu lagi, beliau tetap berpegang kepada prinsip bahawa Najib merupakan punca sebenar mengapa negara tidak berada pada landasan yang tepat untuk menjadi negara maju.

Jelas Dr Mahathir lagi, jika beliau boleh menerima Najib, sudah tentu beliau sudah pun bersetuju untuk menjadi Perdana Menteri bagi Perikatan Nasional (PN).

“Dengan Datuk Seri Najib saya tidak boleh kerjasama. Saya minta maaf, saya dijemput untuk menjadi Perdana Menteri sebelum Tan Sri Muhyiddin jadi Perdana Menteri (lagi).

“Saya kata kepada mereka satu kerajaan yang bergantung kepada Datuk Seri Najib untuk jadi kerajaan bukanlah satu benda yang saya boleh terima. Tapi Muhyiddin kata dia boleh terima. Dia ambil lah,” katanya dalam sidang media khas bersama Tengku Razaleigh Hamzah di ibu negara, hari ini.

Dr Mahathir, yang juga bekas Pengerusi Pakatan Harapan, berkata demikian ketika ditanya sama ada beliau sudi bekerjasama dengan Najib untuk menjatuhkan kerajaan PN pimpinan Muhyiddin. – AWANI

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *