Lapang Sasar Memanah Di Tawau Perlu Dinaik Taraf

TAWAU : Kemudahan lapang sasar memanah di Kampung Membalua, Batu Payung di sini, yang dikendalikan Kelab Memanah Tradisional (Petra) perlu dinaik taraf.

Pembantu Menteri Kewangan Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata kerajaan negeri akan menyumbang RM30,000 bagi kerja-kerja menaik taraf kemudahan berkenaan.

“Sukan memanah di daerah ini mempunyai potensi untuk dikembangkan, dan saya berharap sukan ini boleh melahirkan lebih ramai atlet di sini sehingga ke peringkat antarabangsa,” katanya ketika berucap merasmikan Kelab Memanah Indoor Petra di sini, hari ini.

Menurutnya, sukan memanah yang mempunyai golongan peminat tersendiri, bagus untuk minda serta membentuk disiplin dan daya fokus tinggi dalam segala tindakan.

Nizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri  Apas itu berkata, Petra berperanan besar dalam membantu Sabah melahirkan atlet memanah.

“Kerajaan Negeri Sabah sentiasa menyokong inisiatif memajukan semua jenis sukan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Nizam berharap syarikat korporat atau badan bukan kerajaan dapat menyalurkan sumbangan kepada persatuan sukan sebagai tanda sokongan. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *