Hospital Medan Tawau Rawat 1,100 Pesakit Sejak Operasi

Hospital Medan Tawau

TAWAU, 14 Dis : Hospital Medan kendalian Angkatan Tentera Malaysia (ATM) merawat 1,100 pesakit dalam tempoh 55 hari beroperasi, kata Komander Hospital Medan Kolonel Dr Shamsul Bahary Muhamad.

Beliau berkata 90 peratus kes kemasukan harian ke hospital itu terdiri dalam kalangan ibu lepas bersalin, selain kes pembedahan serta onkologi membabitkan rawatan dan kemoterapi.

“Hospital Medan ATM mengutamakan konsep hospital selamat dan selesa berkapasiti 100 buah katil dengan wad multi-disiplin serta perkhidmatan sokongan,” katanya kepada pemberita hari ini selepas meraikan 18 petugas mobilisasi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang akan tamat bertugas di Hospital Medan pada 20 Dis ini.

Dr Shamsul Bahary berkata Hospital Medan berjaya merawat pesakit dengan baik dan semua kes kronik yang diterima di hospital itu tidak perlu dirujuk keluar dari daerah ini.

“Kita hanya menerima lapan kes tidak stabil dan kemudian dirujuk ke Hospital Tawau sahaja untuk pembedahan,” katanya.

Sementara itu, katanya, setakat ini tidak ada arahan terbaharu mengenai operasi perkhidmatan Hospital Medan yang dibuka pada 20 Okt lepas dan dijangka berakhir pada Januari tahun hadapan seperti ketetapan sebelum ini.

“Setakat ini kita belum menerima sebarang arahan untuk melanjutkan tempoh beroperasi tetapi kami difahamkan ianya akan dinilai semula pada akhir Disember ini sama ada akan dilanjutkan atau diserahkan kepada pengurusan Hospital Tawau,” katanya lagi.

Dalam pada itu, katanya, hospital berkenaan masih mengekalkan prosedur operasi standard (SOP) iaitu tidak menerima sebarang lawatan daripada keluarga pesakit berikutan pandemik COVID-19.  – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *