Syarat i-Sinar Susahkan Rakyat, Kata UMNO, BN

Ketua Penerangan Pemuda Umno Wilayah Persekutuan, Wan Agyl Wan Hassan berkata, KWSP seolah-olah tidak yakin kemampuan pencarum untuk membuat keputusan berhubung wang mereka sendiri.

KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan Pemuda Umno Wilayah Persekutuan, Wan Agyl Wan Hassan, berkata, pihaknya kurang berpuas hati dengan syarat program i-Sinar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Ketika dihubungi, Wan Agyl mempersoalkan syarat ditetapkan oleh KWSP yang menurutnya seolah-olah tidak mempercayai kemampuan rakyat membuat keputusan.

“Duit ini duit rakyat, jadi mengapa KWSP perlu mengenakan syarat tambahan? Bagi saya kerajaan seolah-olah tidak percaya rakyat mampu membuat keputusan sama ada perlu keluarkan (simpanan) atau tidak.

“Ini masalah bila ada kesangsian kerajaan terhadap rakyat, seolah-olah tidak percaya rakyat. Kononnya mereka yang tidak terkesan pun akan mengeluarkan simpanan masing-masing,” katanya.

Pada 2 Dis, KWSP mengumumkan pencarum yang layak membuat permohonan kemudahan i-Sinar terbahagi kepada dua kategori.

Kategori 1 adalah pencarum yang bekerja dalam sektor formal, bekerja sendiri, bekerja dalam sektor ekonomi gig, ahli yang sudah lama tidak mencarum, hilang pekerjaan, suri rumah atau ahli yang diberi notis cuti tanpa gaji.

Kriteria kelayakan bagi kategori 1 adalah ahli yang tiada caruman dengan KWSP sekurang-kurangnya selama dua bulan berturut-turut semasa permohonan, atau ahli yang masih bekerja tetapi mengalami pengurangan gaji pokok sebanyak 30% selepas Mac 2020.

Bagi kategori ini, tiada dokumen sokongan diperlukan, kelulusan adalah secara automatik berdasarkan data dalaman KWSP dan ahli hanya perlu memohon secara dalam talian melalui isinar.kwsp.gov.my mulai 21 Dis.

Kategori 2 adalah untuk ahli yang masih bekerja, tetapi mengalami pengurangan pendapatan keseluruhan sebanyak 30% selepas Mac dan pengurangan tersebut hanya boleh dikenal pasti melalui dokumen diberikan.

Wan Agyl berkata, syarat tersebut boleh mencetuskan kemarahan rakyat, khususnya mereka yang terkesan kerana gagal mengemukakan dokumen permohonan.

Katanya, mustahil KWSP akan mencapai sasaran lapan juta pencarum jika syarat tersebut diteruskan.

Beliau mengulas kenyataan bekas perdana menteri Najib Razak, yang mempersoalkan kenapa rakyat yang sudah menunggu selama lima bulan, perlu menunggu sehingga Feb tahun depan untuk mengeluarkan wang mereka.

Wan Agyl berkata, penangguhan itu tidak seharusnya berlaku kerana tidak melibatkan wang kerajaan, sebaliknya wang rakyat.

Ketua Penerangan BN Selangor, Isham Jalil.

“Rakyat dah semakin ‘lemas’, lagi lama kita tunggu pelbagai perkara buruk boleh timbul. Sekarang ini makin bertambah kes orang sanggup merompak kerana kesempitan hidup,” katanya.

Turut tidak berpuas hati ialah Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor, Isham Jalil yang berkata, sokongan Ahli Parlimen BN dan Umno kepada Belanjawan 2021 seolah-olah sia-sia kerana tidak memenuhi harapan berkenaan pengeluaran wang KWSP.

“Apabila Ahli Parlimen BN dan Umno mengundi menyokong Belanjawan 2021, sokongan kita itu atas syarat, iaitu pengeluaran Akaun 1 KWSP dipermudahkan.

“Tetapi tak sampai seminggu selepas kita undi apa yang ditetapkan oleh KWSP tidak seperti apa yang kita minta.

“Ini menyusahkan rakyat. Bukan ini yang kita minta. Kita minta kerajaan dan juga KWSP memudahkan rakyat, bukannya meletakan pelbagai syarat yang menyukarkan rakyat untuk memohon,” katanya.

Sementara itu, Exco Pemuda PPBM, Johainizamshah Johari ketika dihubungi tidak menafikan lebih ramai akan mendapat manfaat daripada pengeluaran simpanan KWSP berbanding 2 juta orang sebelum ini.

“Pengeluaran minimum sebanyak RM10,000 juga memberi kelegaan kepada rakyat. Ramai yang dapat memulakan perniagaan kecil-kecilan, mempunyai modal pusingan serta mengukuhkan lagi kuasa beli.”

Namun katanya, tempoh kelulusan hendaklah disegerakan berbanding dua hingga tiga minggu seperti dinyatakan oleh KWSP. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *