Wanita Berasal Dari Tawau Menyamar Jadi “Inspektor Humairah”

Pakaian digunakan oleh suspek yang menyamar sebagai anggota polis wanita berkenaan setelah ditangkap di kampung Bukit Bator.

BACHOK: Seorang wanita berusia lingkungan awal 20an dipercayai berasal dari Tawau, Sabah sanggup menjalani kuarantin 14 hari di semenanjung sebelum melawat keluarga teman lelakinya yang berusia 23 tahun di Bachok, Kelantan.

Pada masa yang sama, wanita ini juga menyamar sebagai petugas polis berpangkat inspektor.

Wanita itu ditahan pada jam 8 malam semalam susulan laporan yang dibuat ibubapa teman lelakinya. Nama Humairah tertera pada seragam palsu yang digunakan wanita itu. 

Ketua Polis Kelantan, Deputi Komisioner Shafien Mamat berkata, siasatan mendapati, gadis itu datang ke Kelantan untuk bertemu dengan teman lelakinya yang berusia 23 tahun yang merupakan seorang anggota tentera.

Kenderaan digunakan oleh suspek yang menyamar sebagai anggota polis wanita berkenaan setelah ditangkap di kampung Bukit Bator pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Bachok.

Katanya, apabila tiba di negeri ini, dia menjalani tempoh kuarantin selama dua minggu sebelum tinggal di rumah keluarga teman lelakinya di Kampung Bukit Bato sejak seminggu lalu.

“Sewaktu berada di rumah teman lelakinya, gadis itu telah menggantung uniform operasi polis berpangkat inspektor di dalam kereta Perodua Myvi milik teman lelakinya.

“Perbuatan menggantung uniform itu dipercayai untuk menarik kepercayaan keluarga teman lelaki bahawa dia merupakan seorang pegawai polis dan mempunyai pendapatan yang stabil,” katanya pada sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Bachok hari ini.

“Dalam tempoh itu, wanita terbabit mendakwa dia seorang pegawai polis berpangkat Inspektor, namun tindakannya itu menimbulkan curiga kepada keluarga berkenaan termasuk boleh bercuti dalam tempoh lama.

“Susulan itu, keluarga berkenaan tampil membuat aduan kepada pihak polis sebelum wanita terbabit ditahan,” katanya. 

Beliau juga berkata, siasatan awal mendapati suspek mempunyai kesalahan lampau berkaitan kes sama pada 2017 di Sungai Besi, Kuala Lumpur.

“Kita tidak menolak kemungkinan suspek menyamar sebagai Inspektor polis untuk mencari jodoh, selain mampu meyakinkan keluarkan teman lelakinya.

“Hasil tangkapan itu, polis turut merampas pakaian operasi PDRM dan suspek direman sehingga Sabtu ini. Kes disiasat mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan dan tambah Seksyen 89 (c) Akta Polis 1967 kerana memiliki peralatan polis ,” katanya.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *