Kanak-Kanak Maut Dibaham Buaya Ketika Mandi

Pasukan keselamatan mengangkat mayat mangsa yang ditemui terapung kira-kira dua meter dari lokasi kejadian. – Foto Ihsan Pembaca

LAHAD DATU: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 8 tahun maut selepas dibaham buaya dalam kejadian di sungai Kampung Sabah Baru, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 1.30 tengah hari itu, mangsa dikatakan bersama seorang lagi rakan sebayanya mandi di sungai berkenaan sebelum diserang buaya.

Rakan mangsa yang terkejut terus bergegas pulang ke rumah untuk memaklumkan kejadian itu kepada bapa mangsa.

Lokasi kejadian, di hadapan rumah ketika air pasang.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Rohan Shah Ahmad berkata, polis yang menerima maklumat kemudiannya menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk meminta bantuan operasi mencari mangsa.

Katanya, selepas beberapa jam pencarian, mayat mangsa akhirnya berjaya ditemui terapung kira-kira dua meter daripada lokasi kejadian.

“Siasatan awal mendapati lokasi kejadian berlaku hanya terletak kira-kira 20 meter daripada rumah mangsa. Pemeriksaan awal mendapati mangsa mengalami kecederaan serius di pinggang, perut dan dada. Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Rohan berkata, mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Lahad Datu untuk bedah siasat.

Katanya, siasatan awal mendapati tiada sebarang unsur jenayah dalam kejadian ini dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

Sehubungan itu, Rohan menasihati orang ramai yang tinggal di pesisir sungai dan pantai supaya sentiasa berhati-hati dengan kemungkinan serangan reptilia berkenaan. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *