Jangan Beli Barang Tak Berfaedah Guna Duit KWSP

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz pada Khamis berkata kerajaan meluluskan pengeluaran sehingga RM10,000 daripada Akaun 1 KWSP.

KUALA LUMPUR: Selesai sudah pemwqbentangan Belanjawan 2021, namun ada segelintir suara dalam kalangan rakyat masih tidak berpuas hati, terutama berkaitan isu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan moratorium. 

KWSP didesak membenarkan pengeluaran Akaun 1 secara pukal tanpa mengenakan syarat pengeluaran, begitu juga dengan pelaksanaan moratorium yang diminta untuk dilanjutkan dalam tempoh enam bulan lagi.

Selepas beberapa perbincangan dan analisis secara terperinci, kerajaan memutuskan program i-Sinar dibuka dan diperluaskan kepada semua pencarum yang pendapatannya terjejas, iaitu kira-kira 8 juta orang berbanding hanya 2 juta orang sebelum ini.

Semua ahli layak dan membenarkan pengeluaran Akaun 1 KWSP (i-Sinar) sehingga RM10,000 secara sekali gus dengan melonggarkan syarat ditetapkan sebelum ini. 

Jika dilihat situasi ini, sememangnya ia memberi kemudahan dalam aliran tunai kepada rakyat terkesan. Ia juga mampu menampung perbelanjaan diri dan juga keluarga, di samping mewujudkan kesan aliran tunai positif dalam ekonomi dan kesan gandaan yang akan merancak pertumbuhan ekonomi yang lembap.

Tidak dinafikan, ramai rakyat terkesan dengan pandemik, malah sememangnya memerlukan talian hayat sebegini untuk menghadapi situasi kecemasan dan kesukaran. 

Namun, simpanan hari tua ini perlu digunakan sewajarnya kerana ini akan mempengaruhi corak kehidupan jangka masa panjang pencarum, terutama selepas tempoh persaraan. 

Hasil kajian mendapati majoriti rakyat Malaysia boleh mencecah usia 65 tahun. Hal ini menjadi kebimbangan jika rakyat Malaysia tidak berwaspada dalam pengurusan kewangan Akaun 1 mereka, maka perlu bekerja keras selepas tempoh persaraan untuk kelangsungan hidup.

Bagi pencarum tidak terkesan, keprihatinan mereka pada dividen tahunan KWSP yang mungkin berkurang. Namun, dengan pemulihan segera ekonomi negara, KWSP boleh menjana kembali pendapatan terjejas ini.

Bagi moratorium pula, secara penciriannya golongan B40 serta peniaga kecil dan sederhana (PKS) akan mendapat lanjutan moratorium bank secara automatik. Bagi M40 pula, hanya perlu membuat pengisytiharan sendiri tanpa perlu dokumen dan sebagainya. 

Bagi rakyat yang tidak tergolong, mereka masih boleh mendapatkan moratorium dengan memohon kepada pihak bank masing-masing. Pihak perbankan mempunyai kemampuan melaksanakan lanjutan moratorium secara bersasar untuk kebaikan dan faedah kepada bank. 

Mereka perlu menyokong perniagaan dengan memberi lanjutan moratorium supaya sektor perniagaan dapat berdiri, sekali gus peminjam mampu untuk membayar semula pinjaman.

Bagi golongan yang tidak terkesan, mereka perlu membayar pinjaman seperti biasa bagi membolehkan pihak bank menjana pinjaman khususnya kepada perniagaan yang dapat mencipta peluang pekerjaan dalam negara.

Diharapkan rakyat terpilih dalam bantuan moratorium dan pengeluaran i-Sinar ini dapat menguruskan kewangan dengan sebaiknya. 

Berpada dalam berbelanja, uruslah kewangan sebaiknya. Utamakanlah keperluan keluarga bagi kelangsungan hidup dan jangan sesekali terjebak pembelian barang tidak berfaedah sehingga menyesal di kemudian hari. – BH ONline

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *