500 Dikenakan Kompaun Langgar SOP Di Penampang

Orang awam yang dikenakan kompaun kerana gagal mematuhi SOP PKPP di Penampang.

PENAMPANG: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang merekodkan pengeluaran lebih 500 kompaun terhadap orang ramai sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan, Mac lalu.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, berdasarkan jumlah itu, IPD Penampang menjadi pengeluar kompaun tertinggi di seluruh daerah di Sabah.

Katanya, jumlah keseluruhan kompaun itu mencecah RM500,000 berdasarkan kepada nilai kompaun RM1,000 setiap satu.

“Kebanyakan kesalahan yang dicatatkan adalah membabitkan kegagalan orang awam mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

“Ia membabitkan kesalahan tidak memakai pelitup muka, berada di kawasan yang sesak dan tidak mengamalkan penjarakan fizikal terutamanya di premis kafe dan restoran,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Mohd Haris berkata, masyarakat diminta supaya mematuhi SOP ditetapkan walaupun kerajaan sudah melonggarkan beberapa syarat PKPB termasuk membenarkan rentas daerah serta negeri.

“Jangan disebabkan kelalaian kita, orang lain pun dijangkiti dan sebab itu kerajaan terpaksa bertegas dalam hal ini bagi memastikan kita dapat memutuskan rantaian penularan Covid-19,” katanya. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *