Selepas Sarawak, Kini Sabah Mahu Perjanjian Minyak, Gas Dengan Petronas

Timbalan Ketua Menterinya, Jeffrey Kitingan

KOTA KINABALU: Sehari selepas Sarawak memeterai satu perjanjian komersial minyak dan gas di negeri itu dengan Petronas, Sabah juga mahu perjanjian sama dengan syarikat minyak negara itu.

Timbalan Ketua Menterinya, Jeffrey Kitingan berkata, perjanjian dengan Sarawak itu menunjukkan komitmen berterusan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin untuk memberi Sabah dan Sarawak hak mereka seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Perjanjian itu membolehkan kerajaan Sarawak, menerusi anak syarikatnya, Petroleum Sarawak Bhd (Petros), memainkan peranan lebih besar dalam industri minyak dan gas melalui kerjasama dengan Petronas.

Sambil mengucapkan tahniah kepada kerajaan Sarawak, Jeffrey yang juga presiden STAR, berkata kerajaan Sabah akan cuba sedaya upaya untuk mendapatkan perjanjian itu sendiri.

“Pujian harus diberikan kepada kerajaan Sarawak kerana menuntut hak mereka. Bukan rahsia lagi Sarawak berusaha sedaya upaya dalam perjuangan ini dan kami berterima kasih atas usaha mereka itu.

“Sabah akan meneruskan perkara itu dan membuat perancangan diperlukan untuk memastikan kami akan menandatangani perjanjian sama dengan Petronas. Kedua-dua negeri di kepulauan mempunyai hak sama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, perjanjian itu akan membantu meningkatkan pertumbuhan ekonomi Sabah dan mempercepatkan perindustrian di kawasan luar bandar yang sangat ketinggalan berbanding negeri di Semenanjung.

Beliau turut berikrar kerajaan negeri pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak akan mengambil sikap tunggu dan lihat seperti kerajaan Warisan terdahulu untuk menuntut hak negeri itu di bawah MA63.

“Kami akan bekerjasama rapat dengan kerajaan Sarawak untuk memastikan semua hak di bawah MA63 dipenuhi dan memperbetulkan semua pelanggaran hak sejak beberapa dekad lalu.” – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *