PKPB: Perincian Kelonggaran Terbaharu Di Sabah

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah memutuskan memberi beberapa kelonggaran untuk beberapa aktiviti ekonomi dilaksanakan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ini.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan semalam memperincikan prosedur operasi standard (SOP),

“Bagi tempoh PKPB yang dilanjutkan ini, beberapa aktiviti ekonomi, hiburan dan perkhidmatan tertentu diberikan kelonggaran seperti restoran, kafe, kedai makan, gerai makan, penjaja, dan kedai serbaneka dibenarkan untuk dilanjutkan. Masa beroperasi bermula 6 pagi hingga 12 malam.

“Kelas tuisyen, muzik, tarian, seni, mengaji berbayar, kelas bahasa berbayar dan sebagainya dibenarkan beroperasi dengan tidak melebihi lima orang dalam satu masa serta tertakluk kepada saiz ruang dengan penjarakan fizikal.

“Selain itu, aktiviti busking, persembahan muzik dan nyanyian di dalam lokasi tertutup dalam bangunan seperti restoran, kafe, pusat beli-belah dan ruang rehat hotel adalah juga dibenarkan dengan kawalan masa persembahan dan jumlah penonton.

“Kawalan masa dan jumlah penonton harus mengikut seperti apa yang ditetapkan oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM), pihak berkuasa negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya.

Dalam kenyataan media terbabit turut berkata pengangkutan awam di Sabah sudah dibenarkan beroperasi semula dengan ketetapan tertentu.

“Perkhidmatan bas ekspres, bas persiaran, bas henti-henti, kereta api, perkhidmatan feri awam dan bot penumpang yang membabitkan rentas negeri dan rentas daerah adalah dibenarkan beroperasi dengan kapasiti 50 peratus serta pematuhan penjarakan fizikal dan pemakaian pelitup muka.

“Perkhidmatan teksi dan ‘e-hailing’ adalah dibenarkan beroperasi dengan maksimum dua penumpang dengan pematuhan penjarakan fizikal di dalam kenderaan serta pemakaian pelitup muka,” katanya.

Hajiji turut berkata, jumlah kapasiti kehadiran pekerja ke pejabat kerajaan negeri juga ditingkatkan yang akan berkuat kuasa bermula esok.

“Mulai 7 Disember, kapasiti kehadiran ke pejabat kerajaan negeri adalah ditingkatkan dari 30 peratus kepada 50 peratus, manakala selebihnya dikehendaki bekerja dari rumah.

“Arahan ini adalah terpakai untuk semua penjawat awam negeri Sabah termasuk PBT, badan berkanun negeri dan syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC),” katanya.

Semalam, media melaporkan rentas negeri dan daerah dibenarkan seluruh negara kecuali di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula 7 Disember.

Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sidang media berkata, pergerakan merentas daerah dan negeri dibenarkan di seluruh negara, kecuali di kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) bermula esok. – HMEtro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *