Kesihatan Bobby Chua Kian Merosot

Gambar terbaharu Bobby Chua selepas terima rawatan. Foto ihsan FB Firdaus Wong.

KOTA KINABALU: Bekas pemain bola sepak Sabah dan Sarawak, Bobby Chua yang pernah menggerunkan lawan ketika beraksi di padang pada era 1980an dan 1990an, kini dilaporkan menghidap penyakit sklerosis lateral amiotrofik (ALS).

Difahamkan, bekas pemain tengah berumur 52 tahun itu mengalami penurunan fungsi (degeneratif) pada sel saraf motorik yang berkembang dengan cepat disebabkan kerosakan sel saraf.

Penyakit ini juga dikenali sebagai penyakit neuron motor (MND) iaitu penyakit tertentu yang menyebabkan kematian neuron yang mengawal otot rangka. ALS dicirikan oleh otot-otot yang sengit, otot berkeringat dan secara beransur-ansur memburuk kerana otot berkurang. Ini mengakibatkan kesukaran bercakap, menelan dan akhirnya bernafas.

Berdasarkan maklumat dikongsi dalam akaun Facebook Firdaus Wong Wai Hung semalam penyakit itu menyebabkan kedua belah tangan Bobby semakin lemah dan beliau perlu disuap oleh isterinya untuk makan.

“Jika tidak dilakukan rawatan susulan yang memerlukan belanja hampir RM300,000, kesihatannya akan semakin susut dan akhirnya lumpuh. Beliau telah susut 15 kilogram sejak disahkan menghidap ALS.

Aksi Bobby Chua ( kanan) ketika mewakili Sabah menentang Selangor dalam saingan liga pada tahun 1990an.

“Beliau tidak meminta sebarang wang dari saya dan hanya meminta saya mendoakan beliau. Namun saya terpanggil untuk membantu apa yang mampu dengan berkongsikan kisahnya agar sahabat yang mengenalinya atau tidak mengenalinya dapat memberikan sedikit sumbangan bagi meringankan beban beliau,” katanya.

Katanya, Bobby menghubunginya selepas mendapat nombor telefonnya daripada Menteri Muda Bekalan Air Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi. Firdaus berkata, Bobby sudah menghabiskan lebih RM200,000 wang simpanan selain menjual aset bagi merawat penyakitnya.

Jelasnya, Bobby yang memeluk Islam pada 2014 adalah seorang pejuang ketika beraksi di padang pada zamannya, dan kini berjuang melawan penyakit yang dihidapinya.

Beliau berkata, bekas pemain Sabah itu ada memberitahunya bahawa penyakit yang dihidapinya itu mungkin menyebabkannya boleh hidup selama tiga hingga lima tahun lagi, seperti dimaklumkan doktor.

Bobby bagaimanapun katanya tidak menangis atau sedih selepas menerima maklumat itu kerana beliau yakin kepada Allah selain akan terus berjuang hingga ke penamat.

“Ya, Bobby memang seorang ‘fighter’ di padang pada zamannya. Dia kini juga sedang ‘fight’ untuk melawan penyakit ALS. Saya juga memberitahu beliau bahawa saya juga meminati gaya permainannya dan masih ingat jersi nombor 8 dan 18 yang dipakainya sewaktu mewakili Sabah dan Sarawak,” katanya.

Bobby yang berasal dari Inanam, di sini, menjadi pemain bola sepak profesional pada 1994 dan bermain untuk pasukan Sabah sehingga 1998 sebelum berhijrah ke Sarawak. Perpindahan beliau ke Sarawak pada waktu itu pernah menjadi kontroversi apabila hanya dikenakan yuran RM9.95 oleh Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA).

Selama enam tahun bermain untuk Sarawak iaitu sehingga 2004, Bobby pernah diberi kepercayaan sebagai kapten pasukan dan menjadi antara pemain skuad Bujang Senang yang menyerlah ketika itu. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *