COVID-19: Sebanyak 1,335 Kes Baharu, 2 Kematian Hari Ini

PUTRAJAYA : Sebanyak 1,335 kes baharu COVID-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes di negara ini iaitu 72,694 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata pertambahan jumlah kes baharu itu menjadikan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan di negara ini sebanyak 11,039 kes.

Katanya, daripada kes baharu itu hanya tiga kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara.

“Negeri di bawah Lembah Klang melaporkan jumlah kes harian sebanyak 515 kes (38.6 peratus). Daripada jumlah ini, Selangor mencatatkan kes harian tertinggi iaitu sebanyak 337 kes (65.4 peratus).

“Ini diikuti oleh Negeri Sembilan sebanyak 258 kes (19.3 peratus) dan negeri Sabah sebanyak 250 kes (18.7 peratus),” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 243 kes atau 18.2 peratus lagi dilaporkan dalam kluster di Pusat Tahanan Sementara (PTS) dan penjara.

“Ia termasuk Kluster Penjara Jalan Harapan (141 kes), Kluster Tembok (92 kes), Kluster PTS Sibuga (tujuh kes), Kluster Bakti (dua kes) dan Kluster Rumah Merah (satu kes),” katanya.

Negeri lain turut menunjukkan pertambahan kes iaitu Johor sebanyak 125 kes, Perak (108); Pulau Pinang (31); Labuan (21); Kedah (17); Pahang (4); Melaka (3); Kelantan (2) dan Terengganu (1).

Sementara itu, mengenai dua kes kematian yang dilaporkan hari ini Dr Noor Hisham berkata ia membabitkan kes di Perak dan Johor.

Dr Noor Hisham berkata, pertambahan kes kematian itu menjadikan jumlah kes kematian di negara ini sebanyak 382 kes bersamaan 0.53 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Kes kematian ke-381 membabitkan lelaki warganegara berusia 65 tahun dan mempunyai penyakit darah tinggi dan buah pinggang kronik serta dilaporkan meninggal dunia di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh.

“Bagi kes kematian ke-382, ia membabitkan wanita warganegara berusia 72 tahun dan mempunyai penyakit darah tinggi, dislipidemia, dan obesiti. Beliau dilaporkan meninggal dunia di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham melaporkan sehingga jam 12 tengah hari ini terdapat 1,069 kes sembuh dilaporkan menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh COVID- 19 adalah 61,273 kes atau 84.3 peratus daripada jumlah keseluruhan kes. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *