Bas Ekspres Dibenarkan Beroperasi Antara Beberapa SOP Dilonggarkan Di Sabah

PUTRAJAYA: Kerajaan melonggarkan beberapa prosedur operasi standard (SOP) di Sabah bagi memberi kemudahan kepada rakyat negeri itu menjalankan aktiviti-aktiviti ekonomi dan sosial bermula Isnin ini.

Menteri Kanan (keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, antara SOP itu ialah kemasukan individu masuk ke Sabah dibenarkan untuk tujuan sosial (Pas Lawatan Sosial) bagi kemasukan domestik (pemegang MyKad, MyPR, MyKAS); pemegang pas-pas imigresen jangka panjang (bukan warganegara) dan suami atau isteri kepada rakyat Sabah dan tanggungan.

Kata beliau, bagaimanapun, kemasukan bukan warganegara yang tidak memiliki pas Imigresen jangka panjang wajib mendapatkan kelulusan khas daripada Kerajaan Negeri Sabah.

Ismail Sabri Yaakob

“Semua individu yang akan masuk ke Sabah melalui pintu masuk udara, laut dan darat perlu menjalani ujian saringan Covid-19 tiga hari sebelum perjalanan. Hanya individu yang tidak bergejala dengan keputusan ujian negatif akan dibenarkan masuk ke Sabah.

“Kebenaran pihak polis bagi pergerakan keluar dari Sabah dan rentas daerah tidak lagi diperlukan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Ismail Sabri turut memberitahu, walaupun tiada had dalam kenderaan persendirian (mengikut kapasiti tempat duduk) bagi orang yang keluar dari rumah yang sama, individu berisiko tinggi dan kanak-kanak tidak digalakkan keluar ke kawasan awam, terbuka dan sesak.

Katanya, perkhidmatan bas ekspres, bas pelancongan dan keretapi melibatkan rentas daerah adalah dibenarkan beroperasi dengan kapasiti 50 peratus serta pematuhan penjarakan fizikal dan pemakaian pelitup muka.

Bagi pergerakan kapal-kapal pula, katanya adalah tidak dibenarkan iaitu semua kapal Non-Convention Ships (NCS) Indonesia dan Filipina yang memasuki perairan ESSZONE, Sabah serta semua kapal NCS Malaysia dari perairan ESSZONE ke Filipina dan Indonesia.

Turut tidak dibenarkan, katanya, kapal pengangkut ikan Indonesia ke Tawau dan kapal NCS dari Filipina yang melalui perairan Sabah untuk ke Labuan.

“Pergerakan keluar bot-bot kecil dari pulau-pulau di Sabah ke tanah besar termasuk pergerakan bot-bot di kawasan pesisiran pantai hanya dibenarkan dengan kapasiti 50 peratus mulai pukul 6.00 pagi hingga 6.00 petang sahaja.

“Aktiviti menyelam dibenarkan beroperasi dengan kapasiti 50 peratus muatan penumpang bagi bot yang membawa penyelam ke lokasi selaman dan kapasiti 50 peratus di lapangan dengan mematuhi SOP yang ditetapkan oleh Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah kecuali di lokaliti Temco,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, restoran, kedai atau gerai makan, penjaja dan kedai serbaneka dibenarkan beroperasi bermula pukul 6 pagi hingga 12 malam.

Aktiviti pelancongan pula katanya, dibenarkan dengan kapasiti terhad serta mematuhi SOP Gelembung Perjalanan Domestik (Domestic Travel Bubble) dan SOP berkaitan Sektor Pelancongan Domestik yang ditetapkan oleh Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah.

“Kelas tuisyen, kelas muzik, kelas tarian, kelas seni, kelas mengaji berbayar, kelas bahasa berbayar dan sebagainya dibenarkan beroperasi dengan tidak melebihi lima orang dalam satu-satu masa serta tertakluk kepada saiz ruang dengan penjarakan fizikal,” katanya.- Utusan Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *