Projek STEM Pelajar Sabah Dapat Pengiktirafan Di Peringkat Asia Tenggara

Bridget Audrey (kiri) dan Nurshawinnda Juhtin

Projek STEM (Science, Technology, Engineering, Mathematics) yang dikendalikan oleh Kelab Digital Kolej Vokasional Keningau telah diiktiraf dan ditayangkan di majlis belia YSEALI Younified yang berlangsung di Vietnam pada 3 Disember 2020.

Kelab ini telah diwakili oleh dua pelajar jurusan kosmetologi, Bridget Audrey dan Nurshawinnda Juhtin, untuk menyertai acara tersebut secara maya dengan menghantar poster projek komuniti mereka untuk dicalonkan sebagai projek pilihan untuk ditayangkan semasa pelancaran program belia tersebut.

Terdapat lebih kurang 60 projek komuniti belia dari Asia Tenggara yang dipilih untuk dipamerkan semasa acara tersebut, projek mereka merupakan salah satunya.

Dua pelajar ini, bersama pasukan mereka, telah dibimbing oleh guru kelab tersebut, Encik Khalifa Affnan, untuk melaksanakan bengkel latihan dan pertandingan yang melibatkan elemen robotik seperti dron dan kereta kawalan jauh.

Tema projek mereka adalah “STREM” dimana konsep ini menggabungkan pendekatan STEM dengan robotik (R) sebagai elemen yang dapat mengukuhkan kemahiran pelajar dalam empat bidang tersebut iaitu sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik.

Selain daripada projek ini, kedua dua pelajar ini juga bergiat aktif dalam program pertukaran pelajar dimana mereka pernah mewakili Malaysia ke Korea Selatan selama seminggu pada tahun 2019.

YSEALI Younified merupakan majlis pertukaran pendapat dan perbincangan idea antara belia peringkat Asia Tenggara anjuran persatuan Young Southeast Asian Leaders Initiative (YSEALI) dibawah tajaan kerajaan Amerika Syarikat.

Kedua dua pelajar ini merupakan ahli berdaftar bagi persatuan tersebut yang membuka keahlian kepada belia yang berasal dari negara negara ASEAN berusia antara 18 hingga 35 tahun.

Selain pencapaian ini, kelab digital KV Keningau merupakan pemenang geran berjumlah RM 45 ribu melalui pertandingan YSEALI Seed for the Future yang dianjur oleh persatuan yang sama pada tahun ini.

Kelab ini telah menggunakan geran tersebut untuk membeli kelengkapan teknologi dan menambahbaik infrastruktur makmal digital sekolah tersebut.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *