Nelayan Diacu Pistol Sebelum Dirompak Di Inderasabah

Gambar Hiasan

TAWAU: Nelayan menempuh detik cemas apabila diacu pistol sebelum dirompak dua lelaki tidak dikenali ketika menangkap ikan di atas Bagang (pelantar sangkar ikan) di Tanjung Kiras, Inderasabah dekat sini, kelmarin.

Difahamkan, mangsa yang bersendirian sedang menurunkan pukat untuk menangkap ikan bilis sebelum didatangi dua lelaki menaiki sebuah bot laju dal;am kejadian 5 petang.

Mangsa, Halim Colle, 32, ketika dihubungi berkata, dia pada mulanya tidak mengesyaki apa-apa ketika dihampiri lelaki terbabit yang berpura-pura meminta rokok selain bertanyakan sama ada membawa makanan.

Bagaimanapun, mangsa memaklumkan tidak mempunyai rokok kerana dia bukan seorang perokok sebelum menyerahkan bungkusan makanan kepada seorang lagi lelaki yang ketika itu berada di bahagian tengah Bagang berkenaan.

“Akibat permintaan rokok tidak dipenuhi, lelaki itu kemudiannya bertindak mengacukan objek menyerupai pistol dan mengarahkan saya membuka enjin bot jongkong selain meminta menyerahkan barang peribadi.

“Bimbang keselamatan diri terancam, saya kemudiannya menyerahkan satu unit mesin generator, sebuah tong gas serta telefon bimbit sebelum kedua-dua lelaki melarikan diri,” katanya sambil bersyukur kerana tidak mengalami sebarang kecederaan.

Menurutnya, dia terpaksa tinggal semalaman di Bagang dan hanya pulang ke rumah semalam dengan menggunakan bot sewa pada 7.30 pagi sebelum tampil membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau hari yang sama.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Peter Umbuas ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan kejadian berkenaan.

“Pasukan keselamatan sedang mengumpul maklumat berkaitan insiden berkenaan dan siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *