Nafi Kemelut Politik Perak Menular Ke Sabah

Ahli Parlimen Kinabatangan Bung Moktar Radin.

KOTA KINABALU: UMNO Sabah menafikan spekulasi mengenai kemungkinan kemelut politik Perak boleh berlaku di Sabah selepas ini.

Ketuanya, Datuk Seri Bung Moktar Radin, sebaliknya berkata UMNO Sabah yakin dengan kepemimpinan Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor dan ikhlas menyokongnya.

Beliau berkata, pemimpin Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang membentuk kerajaan negeri ketika ini saling memahami dan bekerjasama antara satu sama lain.

“Apa yang berlaku di Perak itu ialah sentimen politik di sana. Di Sabah kita ada sentimen kita sendiri, di sini lain, kita sentimental.

“Kita di Sabah memahami antara satu sama lain dan sedar bahawa kita tidak boleh berpecah-belah,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat UMNO Sabah, di sini, hari ini.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah, berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai spekulasi pihak tertentu mengatakan apa yang berlaku di Perak mungkin turut berlaku di Sabah.

Bung Moktar berkata, UMNO Sabah tidak akan mengkhianati rakan parti dalam GRS dan turut berharap parti lain dalam gabungan itu juga tidak mengkhianati UMNO serta Barisan Nasional (BN).

“Kita yakin dengan kepemimpinan Ketua Menteri dan UMNO memang ikhlas menyokong serta tidak akan mengkhianati rakan parti lain.

“Isu di Perak tidak akan menjejaskan kedudukan kita di Sabah. Kita di sini masih kukuh,” katanya.

Spekulasi yang mengatakan kemelut politik Perak boleh berpindah ke Sabah adalah berdasarkan andaian UMNO Sabah sepatutnya mendapat jawatan Ketua Menteri selepas GRS memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 26 September lalu.

Ini kerana UMNO memenangi lebih banyak kerusi berbanding Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan parti lain dalam GRS.

Pemilihan Hajiji yang juga Ketua Badan Pimpinan BERSATU Sabah sebagai Ketua Menteri adalah berdasarkan jumlah kerusi dimenangi atas tiket Perikatan Nasional (PN), iaitu kerusi BERSATU dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR).

Pada PRN lalu, UMNO memenangi 14 kerusi, diikuti BERSATU sebanyak 11 kerusi, manakala enam kerusi dimenangi STAR, selain tujuh lagi oleh Parti Bersatu Sabah (PBS), membolehkan kerajaan baharu dibentuk dengan majoriti mudah 38 kerusi. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *