KM Sabah Selamat Daripada Penyingkiran Seperti Di Perak, Kata Pemimpin UMNO

Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor daripada PPBM tidak mungkin berdepan nasib sama seperti Ahmad Faizal Azumu di Perak, kata seorang pemimpin Umno.

KOTA KINABALU: Seorang pemimpin Umno Sabah percaya Ketua Menteri Hajiji Noor tidak akan berdepan nasib sama seperti Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu yang kalah usul undi percaya di Dewan Undangan Negeri (DUN) semalam.

Ketua Pemuda Umno negeri Abdul Aziz Julkarnain berkata, pemilihan calon menteri besar Perak memang dipersoalkan sejak awal lagi.

“Kerajaan di Perak memang berdepan krisis menteri besar sebelum ini. Tetapi di Sabah, parti dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) telah membuat keputusan memilih Hajiji sebagai KM berikutan keputusan pilihan raya negeri,” katanya.

“Parti di Sabah juga bersetuju berkongsi kuasa. Kami ada persefahaman itu, jadi kami stabil…keadaan di Perak tidak akan berlaku di sini. Saya percaya Hajiji mendapat cukup sokongan untuk mengekalkan kedudukannya.

Faizal kalah undian percaya di DUN Perak dengan keputusan 48 undi menolak, 10 menyokong dan satu undi rosak.

Aziz berkata, GRS juga menyokong Hajiji, yang merupakan pengerusi Perikatan Nasional (PN) dan PPBM Sabah, untuk mengetuai usahanya menunaikan semua janji pilihan raya gabungan itu, terutama bagi memperbetulkan kesalahan yang dilakukan oleh kerajaan sebelum ini.

Bagaimanapun penganalisis politik Lee Kuok Tiung berkata, walaupun Sabah tidak mungkin mengalami keadaan yang sama seperti di Perak, namun adalah tidak wajar membandingkan “epal dengan limau”.

Beliau berkata, PPBM hanya mempunyai lima kerusi di Perak dan parti dengan bilangan ADUN paling sedikit mendapat peluang menjadi MB.

“Tentulah banyak pihak tidak senang hati”.

Di Sabah bagaimanapun, PPBM mempunyai 11 kerusi berbanding 14 yang dimiliki oleh Umno, tetapi ia dibantu oleh STAR, yang merupakan sebahagian daripada PN, dengan enam ADUN.

PBS mempunyai tujuh kerusi dan memilih untuk menyokong PPBM untuk jawatan ketua menteri.

“Umno akur kerana secara bersesama PPBM, STAR dan PBS mempunyai 24 kerusi, berbanding 14 yang dimilikinya.

Lee berkata, Perak perlu mengambil pengajaran daripada Sabah yang menyaksikan jawatan tertinggi diberikan kepada parti yang mempunyai ADUN atau sokongan paling banyak.

Tony Paridi Bagang dari UiTM Sabah berkata, episod di Perak boleh dijadikan pembuka mata.

Walaupun beliau tidak melihat kemungkinan ia berlaku kepada GRS, namun “ia boleh menjadi peringatan supaya tidak berasa terlalu selesa… politik di Sabah sangat dinamik”.

Bagaimanapun katanya, tiada sebab kerajaan GRS akan mengalami nasib sama seperti yang berlaku di Perak. GRS dilihat terus berusaha memperkuatkan gabungan itu.

Pensyarah kanan UMS Romzi Ationg melihat undian di Perak sebagai amaran kepada PPBM Sabah.

“Namun belum jelas sama ada Umno berminat mengambil langkah sama. Mereka kelihatan tidak dapat membuat keputusan berkait isu kerjasama dengan Warisan Plus,” katanya.

Romzi tidak yakin GRS kini lebih kuat dengan berkata, ia masih bergelut dengan isu kerjasama politik, terutama berkait kepercayaan dan kepimpinan. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *