2 Lelaki, Seorang Wanita Ditahan Bersama Syabu Di Menumbok

Bungkusan syabu yang dirampas polis dalam operasi khas di tepi pantai Kampung Mempakul, Menumbok di Beaufort. Gambar Juwan Riduan

BEAUFORT: Tiga individu termasuk seorang wanita yang dipercayai sedang menjalankan kegiatan pengedaran dadah ditahan dalam operasi khas di tepi pantai Kampung Mempakul, Menumbok di sini.

Operasi dijalankan pada 9.30 pagi Isnin lalu oleh sepasukan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Kontijen (IPK) Sabah dan dibantu pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Labuan dan IPD Beaufort.

Ketua Polis Daerah Beaufort Deputi Superintendan Azmir A Razak berkata, dua lelaki yang ditahan berusia 45 dan 57 tahun serta wanita berusia 22 tahun.

Menurutnya, polis turut merampas dadah jenis syabu yang dianggarkan bernilai RM90,000.

“Berdasarkan maklumat suspek yang menaiki kenderaan jenis Toyota Hilux itu berhenti di kawasan di tepi pantai berkenaan dan membawa satu bungkusan dipercayai berisi dadah yang diletakkan di celah batu.

“Pasukan polis kemudiannya bertindak menghampiri kenderaan itu dan memperkenalkan diri sebagai polis dan terus menahan semua suspek,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Azmir berkata, polis kemudiannya bertindak memeriksa bungkusan plastik teh cina berkenaan dan menemui ketulan hablur disyaki dadah seberat 2,065 gram.

Katanya, semua suspek ditahan sebelum dibawa ke pejabat BSJN IPD Beaufort untuk tindakan lanjut.

“Saringan awal mendapati dua daripada tiga suspek positif methamphetamine dan amphetamine, manakala suspek perempuan negatif dadah.

“Siasatan awal mendapati suspek utama memperolehi bekalan syabu dari Kota Kinabalu dan dipercayai akan diedar ke Menumbok bagi tujuan penjualan serta transaksi dadah ke Labuan,” katanya.

Azmir berkata, semua suspek direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B, Seksyen 15(1)(a) dan Seksyen 39 C(1) Akta Dadah Berbahaya 1952. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *