Sisa Klinikal Dari Sabah Ke Semenanjung Tiada Kaitan Covid-19

Longgokan bungkusan sisa klinikal di kawasan perindustrian di Lok Kawi yang mencetuskan kebimbangan penduduk setempat. – Gambar Fail

KOTA KINABALU: Penghantaran sisa klinikal dari Sabah ke Semenanjung seperti yang dinyatakan oleh Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Masidi Manjun, baru-baru ini, bukan berkaitan Covid-19.

Jurucakap Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri berkata, penghantaran sisa klinikal terbabit adalah bagi mengatasi tunggakan sisa klinikal yang dihadapi oleh Sedafiat Sdn Bhd, iaitu syarikat tunggal yang mengendalikan sisa klinikal di Sabah.

”Pihak JAS di Putrajaya memberi kebenaran kepada Sedafiat Sdn Bhd untuk menghantar sisa klinikal ke Semenanjung pada 13 Nov dengan tempoh penghantarannya adalah selama dua bulan, iaitu sehingga 13 Jan tahun depan.

”Sisa klinikal berjumlah 152 tan metrik ini adalah tunggakan yang belum dirawat, namun bukan berkaitan Covid-19 dengan penghantarannya juga perlu mematuhi SOP (prosedur operasi standard) yang ditetapkan.

”Sepanjang tempoh dua bulan itu juga, penghantaran (sisa klinikal) ke Semenanjung dijangka akan dibuat sebanyak 11 kali sehingga ”backlog” selesai,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, semua sisa klinikal berkaitan Covid-19 di Sabah akan dirawat di negeri berkenaan menggunakan gelombang mikro.

”Selama ini sisa klinikal hanya dirawat di Sabah sahaja dan hanya yang tertunggak di hantar ke Semenanjung, iaitu sebanyak dua kali seminggu dan ia bukanlah sisa Covid-19.

”Kuantiti sisa klinikal yang dihantar bagi satu trip adalah kira-kira 12 metrik tan, iaitu satu trip membabitkan empat kontena dan bertujuan menyelesaikan ”backlog” syarikat Sedafiat Sdn Bhd,” katanya.

Terdahulu sebelum ini, kerajaan negeri mengarahkan Sedafiat supaya mencari kaedah pelupusan sisa klinikal yang lebih efektif.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Masidi Manjun berkata, ia bagi mempercepatkan pengisian beg jumbo berisi sisa klinikal ke dalam kontena seterusnya mengurangkan longgokan di luar premis syarikat itu.

”Kerajaan menerusi Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri memantau pengurusan sisa klinikal yang dilaksanakan oleh syarikat terbabit.

”Pemantauan rapi dimulakan sejak Mac 2020, iaitu sejak awal penularan pandemik Covid-19 dan pihak JAS turut memantau secara harian kuantiti sisa klinikal yang diterima untuk rawatan serta pelupusan oleh syarikat berkenaan.

”Hasil pemeriksaan yang dijalankan mendapati memang terdapat pertambahan sisa klinikal berikutan peningkatan kes Covid-19 yang tinggi di Sabah,” katanya.

Sebelum ini juga, terdapat aduan daripada penduduk setempat di kawasan perindustrian, di Lok Kawi, di sini, yang risau dengan longgokan sisa klinikal di kawasan tepi jalan. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *