Sabah Benarkan Kemasukan Rentas Negeri, Lawatan Sosial

Masidi Manjun

KOTA KINABALU: Sabah hari ini mengumumkan pembukaan semula pintunya kepada pengunjung dari Semenanjung, Sarawak dan Labuan.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Masidi Manjun berkata, kemasukan ke negeri ini hanya memerlukan laporan negatif ujian saringan Covid-19 yang dibuat tiga hari sebelum bertolak.

Katanya, syarat yang lebih longgar itu ditetapkan dalam prosedur operasi standard (SOP) baharu yang dipersetujui kerajaan negeri sejajar penambahbaikan SOP Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) secara berperingkat.

“Kerajaan negeri bersetuju membenarkan kemasukan individu ke Sabah dengan beberapa perincian SOP baharu, antaranya membenarkan kemasukan individu ke Sabah untuk tujuan sosial.

“Ia membabitkan kemasukan domestik bagi pemegang MyKad, MyPR, MyKAS; pemegang pas imigresen jangka panjang bukan warganegara yang sah tempoh dan suami atau isteri kepada rakyat Sabah dan tanggungan,” katanya pada sidang media perkembangan semasa Covid-19 Sabah, di sini, malam ini.

Bagaimanapun, katanya kemasukan orang bukan warga negara yang tidak memiliki pas imigresen jangka panjang wajib mendapatkan kelulusan khas daripada kerajaan negeri.

Katanya, semua individu yang memasuki Sabah melalui pintu masuk udara, laut dan darat hanya perlu menjalani calitan ujian pengesanan RT-PCR atau RTK-Ag COVID-19 tiga hari sebelum perjalanan.

“Hanya individu yang tidak bergejala dengan keputusan ujian negatif akan dibenarkan masuk ke Sabah. Kebenaran pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi pergerakan keluar dari Sabah pula tidak diperlukan,” katanya.

Masidi yang juga jurucakap Covid-19 Sabah berkata, kebenaran itu mengambil kira ramai rakyat negeri ini yang berada di Semenanjung ingin pulang namun terhalang disebabkan larangan rentas negeri.

Katanya, keputusan itu juga adalah usaha kerajaan untuk memulihkan pelancongan domestik secara berperingkat menerusi kemasukan pengunjung dari negeri lain.

“Kita juga mengambil kira ada rakyat Sabah mahu pulang untuk menyambut Krismas bersama keluarga pada akhir bulan ini.

“Bagaimanapun, perlu diingat kebenaran ini juga tertakluk kepada SOP lain yang masih dikuatkuasakan,” katanya.

Beliau berkata, maklumat lanjut berhubung perkara itu termasuk sama ada PKPB di Sabah ditamatkan atau tidak dijangka diumumkan Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, esok.

Katanya, Ismail juga dijangka membuat pengumuman mengenai status larangan rentas daerah yang dikuatkuasakan di Sabah ketika ini.

PKPB di Sabah yang disambung selama sebulan sejak awal bulan lalu dijadualkan tamat Ahad ini. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *