Jadikan Daerah Semporna Contoh Penurunan Kes Covid-19

Petugas barisan hadapan KKM menjalankan operasi saringan Covid-19 di Semporna, Sabah (gambar fail).

KOTA KINABALU: Daerah Semporna dijadikan contoh kejayaan usaha mengekang penularan Covid-19 di Sabah daripada kawasan paling teruk terjejas kepada antara daerah paling sedikit kes positif hari ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Masidi Manjun berkata, kejayaan itu adalah hasil usaha keras petugas barisan hadapan dan penduduknya membantu menghalang penularan Covid-19.

“Sebelum ini daerah Semporna adalah daerah yang digeruni kerana paling tinggi kes positif Covid-19. Namun, hari ini hanya ada satu kes positif di sana.

“Kita berterima kasih kepada petugas barisan hadapan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang bertungkus-lumus menangani kes Covid-19 di sana dan ditambah lagi kerjasama baik penduduknya.

“Sehubungan itu, ia wajar dijadikan contoh dan memberi motivasi kepada penduduk di daerah lain untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dalam usaha menurunkan kes positif Covid-19,” katanya pada sidang media perkembangan semasa Covid-19 Sabah, di sini, malam ini.

Sabah mencatat 320 kes positif baharu Covid-19 hari ini dengan Kota Kinabalu mencatat kes tertinggi sebanyak 72 kes, manakala Semporna yang terrendah dengan hanya satu kes.

Secara keseluruhan Sabah merekodkan kumulatif kes sebanyak 29,897 kes setakat hari ini, manakala sebanyak 27,046 kumulatif kes sembuh termasuk 405 orang yang dibenarkan keluar hospital hari ini.

Sementara itu, Masidi berkata, kes jangkitan Covid-19 di Sabah hari ini kebanyakannya membabitkan kontak rapat iaitu sebanyak 187 kes atau 58 peratus daripada jumlah kes positif keseluruhan.

“Berdasarkan angka itu, ia menunjukkan betapa cepatnya virus ini merebak dalam kalangan kontak rapat selain pentingnya langkah segera menjalani saringan jika kita terdedah kepada individu yang disahkan positif Covid-19,” katanya.

Mengulas lanjut, Masidi berkata mulai esok, Jabatan Kesihatan negeri akan meningkatkan ujian saringan Covid-19 di lokasi yang disyaki mempunyai kebarangkalian jabgkitan virus yang tinggi.

Langkah itu, katanya dijangka menyebabkan statistik kes positif Covid-19 di negeri ini meningkat dalam tempoh beberapa hari akan datang. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *