Saman RM1 Bilion Menanti Shafie Apdal, Tun Juhar

Datuk Zulkarnain Mahdar

KUALA LUMPUR : Gerakan Kuasa Rakyat (G57) tidak menolak kemungkinan untuk memfailkan tuntutan ganti rugi sekurang-kurangnya RM1 bilion terhadap Yang Dipertua Sabah, Tun Juhar Mahiruddin dan bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Menurut pengerusinya, Datuk Zulkarnain Mahdar, ia susulan tindakan kedua-dua pemimpin itu didakwa menyebabkan berlakunya gelombang ketiga penularan pandemik Covid-19 di Sabah.

Keputusan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hingga berlakunya Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dibuat oleh Juhar dan Mohd Shafie hanya memburukkan keadaan menyebabkan ratusan kes baharu dan berpuluh kematian direkodkan, ujarnya.

“Kita bercadang dengan panel peguam untuk memfailkan saman berjumlah RM1 bilion terhadap kedua-dua individu ini, Tun Juhar dan Shafie Apdal.

“Saya fikir Shafie Apdal mampu bayar, sebab kita tahu beliau mempunyai kemampuan (kewangan), sebenarnya RM1 bilion itu mungkin kecil bagi pihak beliau sendiri.

“Kalau RM2 atau RM3 bilion beliau kena saman pun beliau mampu bayar sebenarnya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu Zulkarnain membuat laporan polis ulangan terhadap Juhar dan Mohd Shafie mengenai gelombang ketiga Covid-19 yang berpunca daripada keputusan kedua-dua pemimpin itu membubarkan DUN Sabah dan melaksanakan PRN Sabah di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, hari ini.

Dalam pada itu, Zulkarnain bercadang untuk mengagihkan tuntutan tersebut kepada seluruh negara khususnya mangsa-mangsa Covid-19 yang didapati positif dan meninggal dunia jika memenangi kes itu.

“Sekiranya panel peguam kita berjaya memenangi kes ini, wang tersebut (RM1 bilion) akan diagihkan ke seluruh negara dan kepada mangsa-mangsa yang terjejas.

“Kita juga akan salurkan kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

“Soal keputusan berapa (ganti rugi) kita serahkan kepada mahkamah,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Zulkarnain turut melahirkan rasa kecewa terhadap Polis DiRaja Malaysia (PDRM) yang didakwa masih tidak memanggil Juhar dan Mohd Shafie untuk memberi keterangan.

“Laporan pertama kita sebelum ini masih belum ada perkembagan, malah kedua-dua pemimpin Sabah ini tidak pula dipanggil untuk memberi keterangan.

“Mereka perlu bertanggungjawab terhadap tindakan mereka sebelum ini yang telah menyebabkan berlakunya gelombang ketika Covid-19,” katanya. – MalaysiaGazette

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *