Perlu Permit Terbangkan Dron Di Sabah

KOTA KINABALU: Peminat mahupun pemilik dron di Sabah perlu mendapatkan permit daripada pihak berkaitan sebelum menerbangkannya di sesuatu kawasan.

Memberi peringatan itu, Komander Pasukan Gerakan Udara (PGU) Pangkalan Sabah Polis Diraja Malaysia (PDRM) ACP Ahmad Lokman Abd Hadi, berkata pemilik perlu mendapat kebenaran daripada Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia.

“Selepas mendapat kebenaran, mereka juga perlu permit daripada Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) supaya aktiviti menerbangkan dron dapat dijalankan di kawasan yang dibenarkan.

“Di Sabah memang ada aktiviti menerbangkan dron tetapi lebih kepada hobi dan setakat ini PGU menjalankan pemantauan sekiranya ada menerima laporan (menceroboh kawasan larangan),” katanya kepada Bernama.

Ahmad Lokman berkata, sebelum ini PGU pernah menerima laporan terdapat dron yang menceroboh kawasan kediaman orang kenamaan.

Bagi menghalang kejadian itu berulang, Unit Dron PGU Sabah sudah dibekalkan sebuah alat Jammer yang berfungsi menyahaktifkan dron lain yang diterbangkan di kawasan yang dilarang.

Menerbangkan dron tanpa permit adalah salah mengikut Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam Malaysia 2016 (MCAR 2016). Ia boleh dikenakan denda minimum RM50,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-dua sekali bagi individu manakala denda maksimum RM100,000 untuk badan korporat, jika didapati bersalah.

Ahmad Lokman berkata, antara kawasan yang dilarang termasuk di kawasan PGU Sabah dan dron tidak akan berfungsi meskipun diterbangkan di kawasan berkenaan. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *